Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli baca Berita Perdana Khas RTM

Syahdeen Tahir
April 1, 2021 20:56 MYT
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman tampil kira-kira 15 minit dalam slot Berita Perdana Khas TV1, RTM terbabit menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara. - Foto ihsan RTM
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia ke-75, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman mencemar duli membuat kemunculan istimewa di slot Berita Perdana Khas pukul 8 malam tadi di saluran TV1, RTM.
Baginda tampil kira-kira 15 minit dalam slot berita terbabit menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara.
Menurut penerbit Berita Perdana Khas, Khairul Azli Rahim, beliau berasa sangat berbesar hati dan teruja kerana Tengku Permaisuri Selangor berkenan untuk menyampaikan berita yang disunting olehnya.
“Ini kemunculan kali pertama baginda di kaca tv selepas ditabalkan menjadikan Permaisuri Selangor selepas lima tahun lalu.
“Saya mewakili pihak produksi dan krew penerbitan berita RTM mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian baginda meluangkan masa untuk menyampaikan berita kami hari ini,” ujar Khairul
Tatarias wajah dan busana Tengku Permaisuri Norashikin disediakan oleh Unit Imej dan Solek RTM.
Tengku Permaisuri Norashikin melangsungkan majlis pernikahan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 31 Ogos 2016 di Masjid Diraja Istana Alam Shah Klang.
#RTM #Radio Televisyen Malaysia #Permaisuri Selangor #Buletin Perdana #Khairul Azli Rahim #Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman
;