Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dilantik Presiden ASM ke-6

Bernama
Mac 27, 2023 08:30 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, 77, yang juga seorang daripada Felo Pengasas ASM. - Foto/Instagram ASM
KUALA LUMPUR: Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim dilantik sebagai Presiden ASM keenam berkuat kuasa hari ini.
ASM dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, 77, yang juga seorang daripada Felo Pengasas ASM.
Menurut kenyataan itu, dengan pelantikan berkenaan beliau akan berperanan sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STIE) kepada negara seperti yang diluluskan oleh Kabinet pada 22 Jun 2022.
Pelantikan Tengku Mohd Azzman Shariffadeen adalah dari 1 Mac 2023 hingga 28 Feb 2026 dengan mengambil alih jawatan tersebut daripada Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail yang tamat tempoh perkhidmatan selama dua penggal pada 27 Dis 2022 seperti yang termaktub dalam Akta Akademi Sains Malaysia 1994.
"Tanggungjawab ini adalah amanah yang saya akan jalankan sebaik mungkin di samping bekerjasama rapat dengan semua pihak dalam meningkatkan peranan ASM bersama komuniti saintifik negara ke arah pengukuran STIE Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa," kata Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dalam kenyataan berkenaan.
Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Chang Lih Kang dalam kenyataan sama berharap Tengku Mohd Azzman Shariffadeen akan membantu memperkukuh ekosistem dan tadbir urus STIE negara dan yakin ASM mampu menyalurkan manfaat lebih besar kepada masyarakat dan negara berlandaskan prinsip Malaysia MADANI.
"MOSTI ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sekali gus mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail yang telah mempamerkan komitmen padu kepada kementerian, ASM dan pihak berkepentingan lain dalam menjayakan agenda STIE negara," katanya.
Anak kelahiran Kelantan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan dan Kawalan Sistem daripada Institute of Science and Technology, University of Manchester itu telah berkhidmat sebagai Dekan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya dari 1975 hingga 1984 sekembali ke Malaysia.
"Tengku Mohd Azzman Shariffadeen adalah antara individu yang bertanggungjawab merintis bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara. Beliau juga adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif yang pertama di Malaysian Institute of Microelectronic Systems (MIMOS) Berhad dan telah menerajui MIMOS bermula dari 1984 hingga 2005," menurut kenyataan itu.
Menurut ASM, program perdana Koridor Raya Multimedia telah tercetus di bawah kepimpinan Tengku Mohd Azzman Shariffadeen.
Tengku Mohd Azzman Shariffadeen juga adalah Setiausaha pertama National IT Council (NITC) pada 1994 yang berperanan merangka Agenda Komunikasi Maklumat Kebangsaaan (NITA) dan pada 2000, beliau telah menerima anugerah Contribution to the Engineering Profession in Malaysia daripada Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM).
Di peringkat antarabangsa, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pernah dilantik sebagai anggota pasukan Komunikasi dan Teknologi Maklumat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan memantau pembangunan industri ICT di Asia.
Selain itu, beliau juga pernah menganggotai beberapa badan berkaitan kejuruteraan dan ICT seperti Institute of Electrical and Electronics Engineers, Global Alliance for ICT and Development (GAID-UN) dan ahli lembaga penasihat di International Council for Computer Communications, Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
#Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim #Akademi Sains Malaysia #Presiden ASM #Yang di-Pertuan Agong