Tengku Maimun dedah pernah terima ancaman bunuh
Fareez Azman
Januari 9, 2023 17:42 MYT
Januari 9, 2023 17:42 MYT
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan bahawa beliau pernah mendapat ancaman bunuh semasa mengendalikan kes-kes membabitkan tokoh-tokoh dan personaliti tertentu.
Ujar Tengku Maimun, namun begitu kebebasan badan kehakiman buat beliau adalah lebih penting daripada ancaman itu.
"Yang menjadi luar biasa melibatkan tokoh-tokoh tertentu adalah kecaman itu agak luar biasa, saya sendiri pun mendapat ancaman bunuh serius atau tidak itu soal lain.
"Di masa sama kita melihat sokongan begitu luar biasa yang beri sokongan badan kehakiman.
"Untuk itu, saya menyatakan penghargaan kami atas sokongan masyarakat memahami sebenarnya dalam setiap keputusan kita buat," ujarnya ketika sidang media pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Tengku Maimun berkata berdasarkan pemerhatiannya apabila sesuatu kes melibatkan tokoh-tokoh tertentu, komen-komen yang ditujukan terhadap badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik, bukannya komen yang membina.
Tahun lepas dilaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun di media sosial.
Susulan itu PDRM berkata akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalah guna platform media sosial untuk mengancam keselamatan.