Tengku Mahkota Pahang murka kenyataan hasutan dibuat Muhyiddin, gesa polis siasat

Azyyati Ahmad
Ogos 18, 2024 07:30 MYT
Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah Tengku Hassanal dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.
Dalam kenyataan itu, Tengku Hassanal turut bertitah, berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
"Sungguhpun begitu, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
"Baginda semasa itu telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan Perdana Menteri dibuat.
“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.
“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah Tengku Hasanal.
Sehubungan itu, Tengku Hasanal mahu pihak polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).
Tengku Hasanal juga menasihatkan semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia yang merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestrai dan rakyatnya bahagia.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad memaklumkan akan memanggil Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional itu untuk memberi keterangan pada Selasa ini.
Setakat ini, sebanyak 28 laporan polis diterima terhadap Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
#Tengku Mahkota Pahang #Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah #Tengku Hassanal murka #kenyataan hasutan #Muhyiddin Yassin
;