Tengku Mahkota Kelantan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul
Bernama
September 15, 2024 05:30 MYT
September 15, 2024 05:30 MYT
KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Jamek Muhammadi, di sini malam tadi.
Ketibaan baginda kira-kira 7.15 malam disambut Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Dr Hasnan Ramli.
Hadir sama, Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad serta Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud.
Baginda menunaikan solat Maghrib bersama lebih 1,000 jemaah diimamkan oleh Imam Tua 1 Masjid Jamek Muhammadi Hairul Azizi Mokhtar dan kemudian berkenan mendengar ceramah khas Maulidur Rasul disampaikan Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Zamrie Ibrahim @ Musa.
Sambutan itu disusuli dengan solat isyak, berzanji dan kasidah serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Pada majlis itu, Tengku Muhammad Fakhry turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Ilmuwan Islam kepada Felo Akademik (Profesor) di Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM Prof Emeritus Dr Abdul Samat Musa.
Terdahulu, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan itu turut diserikan dengan perarakan lima kenderaan berhias yang disertai wakil-wakil masjid sekitar bandar raya ini.
Perarakan turut disertai lebih 500 masyarakat setempat dari Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian ke Dataran Rehal dan dari Dataran Rehal menuju ke Masjid Jamek Muhammadi melibatkan jarak kira-kira 6.6 kilometer.
-- BERNAMA