Tengku Hassanal ingatkan Kerajaan Pahang pastikan pelaburan bermanfaat, tidak belakang alam sekitar
Bernama
Mei 8, 2023 12:22 MYT
Mei 8, 2023 12:22 MYT
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang diingatkan untuk memastikan pembangunan dan pelaburan dipantau sepenuhnya supaya bermanfaat kepada rakyat tanpa membelakangkan alam sekitar, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda yang menzahirkan perasaan bangga dengan pencapaian kerajaan negeri memuktamadkan tujuh projek pelaburan antarabangsa antaranya dari Singapura, China dan Korea Selatan berjumlah RM11 bilion pada tahun lepas, menambah tidak mahu pelaburan itu sekadar 'gah pada angka'.
"Biar rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakal tercipta dan paling penting, semua pelaburan tidak mencemarkan alam sekitar di negeri saya. Projek yang dilaksanakan mesti seimbang antara pembangunan dan menyokong ke arah pelepasan karbon sifar bersih atau net zero emissions.
"Ingat dalam usaha kita mengejar kemajuan negara dan negeri, kita tidak boleh sama sekali membelakangkan alam sekitar," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Istiadat pembukaan kali ini merupakan kali terakhir disempurnakan oleh Tengku Hassanal memandangkan ayahanda baginda Al-Sultan Abdullah yang kini bersemayam di Istana Negara akan kembali ke Pahang pada tahun hadapan.
Keperluan menjaga alam sekitar itu, menurut Tengku Hassanal penting kerana Pahang merupakan negeri kaya dengan sumber asli dan khazanah alam paling bernilai, yang tidak akan bertahan lama tanpa pengurusan dan perancangan tersusun.
Walaupun sumber asli Pahang dijangka mampu bertahan selama 150 tahun, namun Tengku Hassanal mahu sumber asli itu dapat bertahan lebih daripada 300 tahun atau lebih lama lagi.
"Kita tiada pilihan. Kita perlu merangka strategi untuk beralih daripada sumber ekonomi tradisional seperti hasil tanah mineral dan balak sekarang kepada sumber ekonomi alternatif lain.
"Jika kita bersatu dan fokus, Pahang bukan sahaja akan terus berdikari dan (boleh) menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara malah turut menjadi penyumbang utama kepada net zero emissions negara," titah baginda.
Tengku Hassanal juga mengingatkan supaya penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah, kecurian hasil mineral dan penerokaan hutan haram diperhebatkan, dengan agensi terlibat lebih tegas, berani serta profesional tanpa mengira latar belakang pesalah.
Pada titah itu, baginda juga menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Pahang kerana mewartakan Hutan Simpan Gunung Aais dan Hutan Simpan Gunung Aais Tambahan di Jerantut sebagai Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah, dalam usaha melindungi spesis haiwan terancam itu.
Pada perkembangan lain, Tengku Hassanal juga mahu melihat kadar jenayah di Pahang berkurangan setiap tahun selain program pemerkasaan terus dilaksanakan kepada golongan wanita, Orang Kurang Upaya (OKU) dan masyarakat Orang Asli.
-- BERNAMA