Tengku Afzan, FD Idzham selamat diijabkabulkan

Bernama
Ogos 22, 2024 23:37 MYT
Sejurus selesai akad nikah, pengantin lelaki diiringi untuk menunaikan solat sunat sebelum majlis diteruskan dengan penyerahan mas kahwin iaitu senaskah al-Quran kepada Tengku Puteri Afzan yang duduk di atas pelamin. - Gambar Sinar Harian
KUANTAN: Anakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya FD Idzham FD Iskandar selamat diijabkabulkan dalam satu istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini malam ini.
Istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memakai persalinan berwarna kuning diraja bersama paduka-paduka anakanda.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, paduka kakanda dan adinda Tengku Puteri Afzan, kerabat diraja Pahang, selain dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Pasangan diraja yang tampak segak dan manis dengan mengenakan baju Melayu dan baju kurung berwarna putih itu, dinikahkan oleh wakil Al-Sultan Abdullah iaitu Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dengan dua kali lafaz.
Sejurus selesai akad nikah, pengantin lelaki diiringi untuk menunaikan solat sunat sebelum majlis diteruskan dengan penyerahan mas kahwin iaitu senaskah al-Quran kepada Tengku Puteri Afzan yang duduk di atas pelamin.
Istiadat kemudian diteruskan dengan Majlis Menyarung Cincin perkahwinan oleh kedua-dua pasangan mempelai sebelum Majlis Merenjis yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disusuli Tengku Hassanal.
Kedua ibu bapa pengantin lelaki iaitu Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Datin Seri Hafizah Mohd Zakaria turut merenjis pasangan mempelai.
Sepanjang istiadat berlangsung, Tunku Azizah kelihatan sebak dan beberapa kali dilihat mengelap air mata sebelum memeluk erat puteri kesayangan baginda selepas selesai Majlis Merenjis pasangan diraja itu.
Istiadat perkahwinan diraja itu dimulakan hari ini dengan majlis akad nikah, diikuti berinai esok dan bersanding pada Ahad.
Kesemua istiadat berkenaan dijadualkan pada 8 malam dan disiarkan secara langsung menerusi dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan satu di Tasik KotaSAS.
Tinjauan Bernama di MBK hari ini mendapati orang ramai memenuhi padang berkenaan pada 8 malam untuk mengikuti secara rapat majlis berkenaan, selain lapan lokasi bergambar disediakan bagi pengujung.
-- BERNAMA
#majlis akad nikah #Malaysia Airlines #Sultan Pahang #pasangan diraja