Tengku Abdullah: Pahang akan wartakan pengharaman Syiah
Bernama
Julai 28, 2013 12:26 MYT
Julai 28, 2013 12:26 MYT
Pahang akan mewartakan fatwa pengharaman ajaran Syiah bagi mengelak ia daripada terus mengelirukan dan memesongkan akidah umat Islam di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah pewartaan itu selaras dengan pengharaman ajaran Syiah di negeri ini yang telah diumumkan beberapa tahun lepas.
"Perlu kita wartakan (fatwa pengharaman ajaran Syiah). Bagi negeri Pahang kita dah lama haramkan ajaran ini sebab kita amalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia perlu dikekalkan.
"Ini kerana ajaran Syiah adalah berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kita tak mahu ada pihak yang kelirukan dan pesongkan akidah umat Islam dengan ajaran ini," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadan peringkat negeri di sini, semalam.
Baginda mengulas keputusan kerajaan negeri Kedah yang bakal mewartakan fatwa anti-Syiah seperti yang diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada Khamis lepas.
Baginda bertitah ajaran itu tidak boleh dibenarkan berleluasa di negara ini kerana ia memberikan kesan buruk kepada umat Islam di negara-negara lain yang mengamalkan ajaran itu.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, baginda bertitah program berkenaan telah dijalankan sejak 17 tahun lalu dan perlu diteruskan bagi melahirkan pelapis qari dan qariah dari negeri ini.
"Kita mahu ia diteruskan agar pelapis qari dan qariah ini dapat dilahirkan dan mewakili negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan.
"Selain itu ia wajar dijadikan platform kepada umat Islam di negeri ini untuk meningkatkan ilmu pengetahuan Islam dan bacaan Al-Quran khususnya kepada sesiapa yang ingin menjadi imam," titah baginda.
Turut berangkat, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan anakanda, Tengku Hasanal Tengku Abdullah.