Tengku Abdullah mahu kerajaan cari penyelesaian terbaik isu bauksit
Astro Awani
Januari 7, 2016 18:02 MYT
Januari 7, 2016 18:02 MYT
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu semua pihak menghormati keputusan kabinet yang mengarahkan semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri ini dihentikan sementara selama tiga bulan mulai 15 Januari ini.
Baginda percaya keputusan itu dibuat bagi memperbaiki kelemahan prosedur operasi standard yang wujud dengan tidak menafikan kepentingan keseluruhan kepentingan industri perlombongan mineral di negeri ini.
Justeru, dalam tempoh itu baginda mahu kerajaan negeri dan pusat melihat secara holistik perkara berkenaan demi kepentingan semua pihak dalam jangka masa panjang.
“Bukan atas dasar hendak menidakkan industri diteruskan, namun yang lebih penting kita cuba nak mencari kaedah yang terbaik. Bukan saja saya percaya seharusnya tertakluk kepada kegiatan bauksit tetapi harus juga dilihat pada kegiatan mineral yang lain.
“Saya juga nak beri pandangan supaya semasa moratorium dilaksanakan, mungkin kementerian dan kerajaan negeri dapat melihat secara holistik supaya jangka panjang segala industri mineral ini dapat dilaksana dengan sebaik mungkin dan bukan sekadar jangka pendek,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Jerantut.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan.
Titah baginda lagi, keputusan mengenakan moratorium itu dibuat bagi memperbaiki kelemahan prosedur operasi standard (SOP) yang wujud dengan tidak menafikan kepentingan keseluruhan kepentingan industri perlombongan mineral di negeri ini.
Tengku Abdullah percaya kerajaan mahu melestarikan industri mineral dengan semua pihak seharusnya memberi pandangan dan kerjasama terbaik dalam perkara berkenaan.
Titah baginda, sememangnya tidak boleh dinafikan wujud risiko dari segi keselamatan dan kesihatan dalam mana-mana industri.
Berhubung terdapat unsur-unsur rasuah dalam industri bauksit, baginda bertitah ia tidak seharusnya berlaku.