Tengkorak, rangka manusia ditemukan di lebuh raya
Sinar Harian
Februari 20, 2021 09:33 MYT
Februari 20, 2021 09:33 MYT
BATU PAHAT: Satu tengkorak dan rangka manusia ditemukan seorang pekerja penyelenggaraan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran sebuah kereta di kawasan cerun di Kilometer (KM) 122.4 Yong Peng-Pagoh, dekat sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memberitahu, tengkorak dan rangka manusia itu ditemukan pekerja berkenaan pada jam 1.10 petang yang sedang membersihkan longkang.
"Terdapat kemungkinan ada kaitan dengan satu laporan polis berkenaan seorang lelaki hilang yang dibuat pada Jun lalu.
"Mangsa dipercayai memandu kereta Hyundai Sonata sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke cerun berkenaan.
"Siasatan awal mendapati kedudukan kereta berkenaan agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada malam Jumaat.
Katanya, pemilik kereta Hyundai Sonata itu sudah dikenal pasti dan kini menunggu waris untuk membuat pengecaman indentiti bagi membantu siasatan.
"Kami sedang menyiasat mengenai satu laporan polis orang hilang dibuat pada Jun tahun lalu yang mungkin ada kaitan dengan kemalangan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, tengkorak dan rangka manusia itu dihantar ke Jabatan Patalogi Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Batu Pahat
#polis
#kemalangan
#hilang
#mangsa
#kereta
#siasatan
#Lebuhraya Utara Selatan
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#orang hilang
#laporan polis
#Hyundai Sonata
#waris
#pengecaman indentiti
#hilang kawalan
#terbabas
#pekerja PLUS
#Ismail Dollah