Tengkorak manusia ditemukan dekat Kota Laksamana
Bernama
Oktober 17, 2023 15:10 MYT
Oktober 17, 2023 15:10 MYT
MELAKA: Satu tengkorak dan tulang manusia yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di kawasan pantai berdekatan Kota Laksamana di sini Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata tengkorak dan tulang berkenaan ditemukan oleh orang awam pada 6.32 petang.
"Sepasukan pegawai dan anggota polis yang memeriksa tempat kejadian menemukan tengkorak tersebut di atas pasir yang dikelilingi semak samun dengan jarak kira-kira 20 meter dari pantai.
"Pasukan penyiasat juga menemukan satu tulang serta sehelai seluar jeans separuh tertimbus dalam pasir di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya tengkorak dan tulang yang ditemukan itu dihantar ke Forensik Hospital Melaka untuk siasatan forensik bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa.
-- BERNAMA