Tenggelamnya Nanggala 402: Muhyiddin, rakyat Malaysia rakam ucapan takziah
Astro Awani
April 25, 2021 18:25 MYT
April 25, 2021 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan seluruh rakyat republik itu susulan tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala-402.
Dalam satu kenyataan media, Muhyiddin yang turut mewakili seluruh rakyat Malaysia turut berdukacita atas tragedi yang mengejutkan dan menyayat hati tersebut.
"Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada ahli keluarga 53 anak kapal KRI Nanggala 402 dalam menempuh dugaan ini.
"Malaysia sentiasa bersedia untuk terus menghulurkan bantuan wajar yang diperlukan kepada Republik Indonesia dalam menghadapi waktu genting ini," kata beliau.
Jokowi pada sekitar tengah hari tadi menyampaikan rasa sedih beliau susulan tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan utara Bali.
Dalam ucapannya, Jokowi turut memberi jaminan telah dan akan meneruskan usaha pencarian serta penyelamatan terhadap kesemua 53 anak kapal tersebut.
Malah, beliau menyifatkan kesemua mereka yang berada di dalam KRI Nanggala 402 itu merupakan pejuang republik itu.
#Muhyiddin Yassin
#Joko Widodo
#kapal selam
#Nanggala 402
#KRI Nanggala 402
#rakyat Malaysia
#presiden
#menteri
#Perdana Menteri