Tender naik taraf Jalan Lok Kawi dibuka Januari tahun depan - Armizan

Bernama
November 9, 2024 21:45 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyampaikan ucapan pada Majlis Sentuhan MADANI di sebuah restoran hari ini. - Foto BERNAMA
PAPAR: Tender bagi menaik taraf Jalan Lok Kawi akan dibuka pada Januari tahun depan dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata tender secara terbuka tersebut diiklankan kepada syarikat yang berminat untuk menaik taraf jalan raya sedia ada daripada dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong serta dua hala.
"Saya mengusulkan dan merayu kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) agar reka bentuk dimuktamadkan segera, kalau boleh ditender bulan Disember, Disemberlah.
"Tetapi komitmen mereka ialah selewat-lewatnya Januari dan akan ambil masa pula untuk penilaian tender, jadi kita harap bulan April atau Mei kontraktor sudah boleh mulakan kerja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Jalan Sabindo dan mendengar taklimat KKR di Kampung Suangon di sini hari ini.
Pada Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena Program Semarak Perpaduan Rakyat di Papar mengumumkan peruntukan sebanyak RM67 juta bagi Projek Menaik Taraf Jalan Raya Lok Kawi Dari Bulatan Sabindo ke Sungai Kinarut Papar dan RM538 juta bagi Projek Membina Jalan Raya Bypass Pengalat-Papar.
ARMIZAN-JALAN RAYA 2 (AKHIR) PAPAR
Armizan berkata projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan meminta pegawai daerah membantu KKR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pembinaan berjalan lancar termasuk rundingan dengan penduduk kampung yang terlibat.
Beliau berkata projek naik taraf jalan berkenaan adalah keperluan mendesak apabila pada 2021, kajian KKR mendapati kira-kira 27,000 kenderaan menggunakan laluan dari Papar ke pusat bandar itu setiap hari.
"Jarak untuk tender yang diiklankan ialah kira-kira 1.3 kilometer iaitu selepas bulatan Sabindo hingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut," katanya sambil menambah kos RM67 juta itu termasuk pembinaan jejantas, utiliti dan pengambilan tanah.
Bagi projek pembinaan Jalan Raya Bypass Pengalat-Papar, beliau berkata ia kini dalam proses penilaian perunding yang akan dibuat pada bulan ini sebelum proses seterusnya kerana perlu mencari alternatif untuk dilaksana mengikut peruntukan ditetapkan.
Armizan juga berkata terdapat keperluan membina jambatan baharu bagi memudahkan pergerakan penduduk di kawasan sekitar Papar selain mengurangkan kesesakan.
"Projek kedua ini melibatkan dua komponen iaitu jajaran baharu dan jalan sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
#tender naik taraf #Jalan Lok Kawi #kesesakan lalu lintas #Armizan Mohd Ali
;