Tender KVDT 2 akan dibuka seperti dipersetujui Kabinet - Wee Ka Siong
Kenyataan Media
Ogos 28, 2020 23:15 MYT
Ogos 28, 2020 23:15 MYT
Tender Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (Fasa 2) atau Klang Valley Double Track Project (KVDT 2) akan dibuka seperti dipersetujui Kabinet.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan, kerajaan sudah menyemak dengan teliti projek itu bagi mengoptimumkan penggunaan dana awam untuk projek infrastruktur berskala besar.
"Bagi mengoptimumkan penggunaan dana awam untuk projek infrastruktur berskala besar, kerajaan menyemak dengan teliti projek itu.
"Justeru itu, saya ingin mengumumkan tender untuk projek KVDT 2 akan dibuka seperti dipersetujui Kabinet.
"Kabinet Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memutuskan untuk meneruskan projek itu kepada kontraktor Dhaya Maju - LTAT Sdn Bhd dengan kos peratus lebih rendah daripada RM5.265 bilion kepada RM4.475 billion iaitu RM789.750 juta termasuk pengurangan skop kerja pada 5 Julai 2019," katanya dalam kenyataan media malam ini.
Bagaimanapun, katanya perunding ditugaskan Kementerian Pengangkutan iaitu Opus Consultants (anak syarikat Khazanah Nasional Bhd) sudah mengemukakan Laporan Kajian Profesional (PPR) pada Oktober 2018byang menyimpulkan kos projek itu dianggarkan hanya RM3.398 bilion berdasarkan skop kerja DM-LTAT asal.
"Maklumat ini tidak pernah dimaklumkan kepada Kabinet ketika itu.
"Selepas mempertimbangkan hasil penelitian dan penyelidikan menyeluruh, kementerian memutuskan kos projek semasa terlalu tinggi.
"Susulan itu, Kabinet Perikatan Nasional (PN) bersetuju pelaksanaan projek dengan bersandarkan kepada rundingan terus adalah tidak boleh diteruskan," katanya.
Beliau berkata, proses bidaan untuk projek itu akan dilakukan secara tender terbuka mengikut prosedur betul dan bukannya secara rundingan terus seperti dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, Perunding Pemeriksaan Berkecuali (ICC) akan dilantik sebelum kontraktor baharu dapat melaksanakan skop kerja diperlukan untuk memendekkan tempoh pembinaan projek dari tujuh tahun kepada lima tahun.
Katanya, langkah itu penting dan perlu memandangkan projek berkenaan akan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada kira-kira 80,000 pengguna komuter setiap hari.