Tenanglah kau di negeri abadi, bingkisan pilu seorang jurugambar
Shahir Omar
Julai 17, 2021 16:31 MYT
Julai 17, 2021 16:31 MYT
SHAH ALAM: TIADA yang kekal di dunia ini dan bagi manusia, maut pasti akan menjemput kita.
Bila, di mana dan bagaimanakah caranya ia berlaku, hanya Allah S.W.T semata-mata yang Maha Mengetahui.
Namun, hilang insan tersayang sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara, kepedihannya lebih terasa.
Manakan tidak, usah kata mencium dahi jenazah buat kali terakhir, berada hampir dengan jenazah pun tidak dibenarkan.
Hanya mampu berdoa dari kejauhan, memohon kesejahteraan buat insan yang menyambut seruan Ilahi.
Semalam, jurugambar Astro AWANI, Shahir Omar sempat merakamkan perjalanan terakhir lebih kurang 14 jenazah di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam di Selangor – dipercayai jumlah harian tertinggi di kawasan itu.
Dia melihat enam van jenazah yang membawa mangsa COVID-19 mula tiba ke kawasan perkuburan berkenaan sejak pagi sehingga selepas jam 9 malam.
‘Frontliners’ yang mengiringi jenazah lengkap berpakaian pelindung diri (PPE) dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika pengebumian.
Berada di sana, meskipun tidak berbual dengan waris, kesedihan tidak dapat dihindar.
Lebih hiba apabila melihat waris hanya mampu memerhati dari kejauhan, tidak dapat memasuki kawasan perkuburan kerana mengikuti SOP yang telah ditetapkan.
Dari luar kawasan tanah perkuburan tersebut yang kedengaran hanyalah alunan bacaan ayat suci Al-Quran dan tangisan pilu mereka mengiringi pemergian keluarga tersayang ke alam abadi.
Para petugas media yang sedang bertugas sempat juga membacakan Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi buat selama-lamanya.
Sejak pandemik COVID-19 menyerang negara, Malaysia telah mencatat lebih 6,000 kematian dan di Selangor sahaja, rekod kematian kini melebihi 2,000 kematian.
Rakyat Malaysia, jangan putus asa, teruskan perjuangan anda memerangi pandemik COVID-19.
Stay safe, Malaysia!
* Ini adalah catatan dan rakaman lensa jurugambar Astro AWANI, Shahir Omar yang membuat liputan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada Jumaat.
#pandemik
#COVID-19
#rakyat Malaysia
#shah alam
#Astro Awani
#SOP
#kubur
#PPE
#jenazah
#mangsa
#pesakit
#meninggal dunia
#KKM
#kebumi