Tenaga lestari: Manfaat rantaian nilai, tingkat daya saing Malaysia - Nik Nazmi

Harits Asyraf Hasnan
Mac 9, 2023 11:30 MYT
Nik Nazmi berkata langkah tersebut adalah penting bagi memastikan Malaysia kekal relevan dalam persaingan untuk menarik pelaburan hijau yang bernilai tinggi ke negara ini. - Foto NRECC
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) komited memanfaatkan kelebihan rantai nilai sedia ada serta daya saing yang dimiliki Malaysia dalam pembangunan tenaga lestari.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha tersebut adalah untuk merangsang perkembangan dan pembangunan industri tenaga boleh baharu (TBB) dan penerapan kecekapan tenaga bagi menyokong aspirasi negara ke arah neutral karbon.
Menurut beliau, perkembangan semasa global yang agresif dalam mengurangkan jejak karbon harus dilihat sebagai peluang untuk Malaysia mewujudkan bidang pertumbuhan ekonomi baharu.
“Ini kerana dalam pelaburan yang dilakukan syarikat-syarikat terkemuka dunia, aspek capaian dan kesediaan tenaga elektrik dari sumber lestari merupakan aspek yang diberikan pertimbangan utama.
“Mengambil kira trend global yang semakin menitik beratkan bekalan elektrik dari sumber TBB ini, penyesuaian kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada akan dilakukan, agar ia selaras dengan keperluan dan permintaan semasa,” ujar beliau semasa menyampaikan ucaptama di pelancaran Malaysia Energy Transition Outlook (METO) di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata langkah tersebut adalah penting bagi memastikan Malaysia kekal relevan dalam persaingan untuk menarik pelaburan hijau yang bernilai tinggi ke negara ini.
METO merupakan laporan yang memaparkan senario perancangan jangka masa panjang (LTES) yang boleh diterokai Malaysia selaras dengan aspirasi neutral karbon negara pada tahun 2050.
Laporan itu turut mengambilkira aspek peralihan kepada sistem tenaga yang moden, berdaya harap, mampu bayar, lestari dan kalis masa depan.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa segala syor yang dikemukakan dalam laporan itu akan diteliti dan diterapkan dalam penyesuaian kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik yang akan dilakukan.
#tenaga lestari #Nik Nazmi Nik Ahmad #tenaga boleh baharu #Malaysia Energy Transition Outlook
;