Tenaga kerja perbankan tempatan harus kuasai AI, kemahiran berkaitan untuk kekal berdaya saing - AICB

Bernama
Julai 12, 2024 08:50 MYT
Ling (dua, kiri), Shameem (tengah) dan Othman (dua, kanan) hadir pada sesi meja bulat bersama media sempena Persidangan Perbankan Malaysia 2024 edisi ketiga di Kuala Lumpur semalam. - Facebook AICB
KUALA LUMPUR: Tenaga kerja sektor perbankan perlu melengkapkan diri mereka dengan maklumat dan kemahiran yang diperlukan agar mengikuti trend terkini, seiring dengan evolusi teknologi sektor perbankan yang pantas dan tidak pernah berlaku sebelum ini, kata Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).
Ketua Eksekutifnya Edward Ling berkata kepantasan penggunaan teknologi dan automasi mencetuskan kebimbangan bahawa teknologi akan menggantikan manusia, namun, adalah penting untuk tenaga kerja memberi tumpuan kepada pembelajaran berterusan, peningkatan kemahiran dan memupuk kemahiran semula.
"Ia lebih kepada pembelajaran tentang cara meningkatkan produktiviti kerja, prestasi anda dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan itu adalah sesuatu yang akhirnya ingin dicapai oleh semua organisasi," katanya semasa sesi meja bulat bersama media di sini semalam.
Sesi itu dijalankan bersempena dengan Persidangan Perbankan Malaysia 2024 edisi ketiga bertemakan Perbankan dalam Era GenAI-Membentuk Semula Perbankan, Menginovasi untuk Ekonomi Baharu dan Mempercepatkan Kemampanan.
Dianjurkan oleh AICB dan Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), persidangan selama dua hari itu menarik penyertaan lebih 600 delegasi daripada institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Teknologi, Data dan Modal Insan Digital kumpulan Malayan Banking (Maybank) Bhd Shameem Farouk berkata dari sudut pandangan bank itu, Maybank sedang berusaha untuk melengkapkan kakitangannya dengan kemahiran yang akan menjadikan mereka sentiasa diperlukan dalam sektor pekerjaan.
"Tiada entiti yang boleh mengawal ekonomi dan pekerjaan kita mungkin tidak dapat dijamin, tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah melengkapi tenaga kerja supaya sekiranya berlaku sebarang kemungkinan, mereka akan mempunyai kemahiran yang diperlukan.
"Realiti hari ini adalah tenaga kerja dalam teknologi sangat diperlukan, tetapi terdapat kekurangan dan terhad, oleh itu, apabila tenaga kerja kami dilengkapi dengan kemahiran yang lebih baharu seperti pemasaran digital, pemasaran media sosial, kecerdasan pasaran digital, mereka menjadi lebih berharga dan tidak boleh digantikan," katanya.
Kemahiran itu sangat diperlukan untuk menangani cabaran yang lebih besar, sebagai contoh perlu menjawab kira-kira 20,000 e-mel setiap hari, katanya.
Perbincangan meja bulat itu juga membincangkan penggabungan teknologi dari perspektif perbankan Islam, yang turut memerlukan keupayaan teknologi sama seperti perbankan konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Islam dan Inovatif Silverlake Group Othman Abdullah berkata selain keperluan teknologi, terdapat satu lagi aspek keperluan syariah, seperti audit syariah, yang perlu dilakukan secara berterusan.
"Semua ini memerlukan teknologi untuk mereka yang berada di jabatan syariah dan jawatankuasa syariah, itulah kekurangan kami sekarang," katanya.
Sementara itu, industri perbankan Malaysia berada di barisan utama dalam transformasi revolusioner kerana ia telah mengguna pakai kecerdasan buatan generatif (GenAI) dalam mentakrifkan semula operasi perbankan, pengurusan risiko, pengalaman pelanggan dan pembinaan kapasiti.
Menurut laporan Perbankan Accenture dalam AI 2024, bank berkemungkinan mendapat lebih banyak manfaat daripada GenAI berbanding industri lain.
Penggunaan GenAI yang berkesan mampu membawa peningkatan 30 peratus dalam produktiviti pekerja dan berpotensi meningkatkan hasil sehingga enam peratus dalam tiga tahun.
Bagi menggalakkan tenaga kerja yang boleh menyesuaikan diri dengan cemerlang dan kekal relevan dalam landskap yang sentiasa berubah, AICB juga menerajui pembangunan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan untuk sektor kewangan Malaysia dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia dan Institut Insurans Malaysia, yang akan dilancarkan pada 22 Julai 2024.
-- BERNAMA
#Persidangan Perbankan Malaysia 2024 #sektor perbankan #kecerdasan buatan #tenaga kerja
;