Tenaga kerja asing: Letak di bawah satu kementerian, kerajaan digesa permudah urusan
Fareez Azman
Disember 27, 2022 18:31 MYT
Disember 27, 2022 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan agar memudahkan urusan pekerja asing di bawah satu kementerian berbanding beberapa kementerian ketika ini.
Menurut Profesor Hubungan Industri, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Balakrishnan Parasuraman, dengan meletakkan tanggungjawab di bawah satu kementerian sahaja, ia dapat mengurangkan birokrasi di samping menyelesaikan isu kekurangan tenaga asing di beberapa sektor ketika ini.
"Selama ini kita nampak isu pekerja asing seperti tiada penyelesaian. Sebab masing-masing (kementerian) mendakwa bahawa isu ini terletak di bawah beberapa kementerian.
"Saya berkali-kali menhatakan tentang isu ini dan mencadangkan ia diletakkan di bawah satu kementerian. Isu ini patutnya di Kementerian Sumber Manusia (KSM)," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Selasa.
Mengulas lanjut, tambah Balakrishnan, kerajaan seharusnya tidak meletakkan pelbagai syarat yang menyukarkan majikan untuk mendapatkan tenaga kerja asing. Sebaliknya, perlu diwujudkan satu sistem yang lebih mudah antara kerajaan dan majikan dalam melancarkan urusan.
"Kita jangan ada birokrasi dan sebagainya, bila kita letak dalam satu kementerian. Maka, (hanya) satu monitoring system.
"Majikan nak berurusan dengan siapa sebelum ini, itu isunya. Adakah ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Kementerian Sumber Manusia (KSM).
"Maka, KDN boleh tandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengurangkan birokrasi, supaya yang jadi tunjangnya adalah KSM," ujarnya lagi.
Sebelum ini, beberapa badan turut menyuarakan perkara sama agar perkhidmatan bertindih di peringkat kementerian mengenai tenaga kerja asing dapat dikurangkan.