Tenaga kerja asing: Kerajaan disaran pertimbang pelarian UNHCR, banduan parol

Firdaus Azil
Julai 14, 2022 16:40 MYT
Kerajaan perlu melihat segala kemungkinan yang ada, sebagai penyelesaian jangka pendek, sementara isu ini diselesaikan sepenuhnya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk mengguna pakai tenaga sedia ada bagi memastikan impak pembekuan sementara pekerja Indonesia ke negara ini, dapat diminimumkan.
Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong berkata, tenaga sedia ada itu termasuk pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), serta banduan yang mendapat parol.
Beliau berkata, kerajaan perlu melihat segala kemungkinan yang ada, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, sementara isu ini dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Memang tak nafikan bahawa Malaysia amat bergantung kepada pekerja asing, khususnya dalam sektor pembinaan dan perladangan. Kerana kita tahu pekerja tempatan tak mahu kerja kategori 3D – kotor, merbahaya, dan sukar.
"Untuk jangka masa pendek, kita harus lihat bagaimana kita boleh guna pakai tenaga kerja sedia ada, tenaga asing sedia ada seperti pelarian di bawah UNCHR dan banduan parol
"Kalau lihat negara lain seperti Nepal, Pakistan, Kemboja, Laos, dan juga Filipina, kita nampak bahawa kelima-lima negara tersebut ada potensi sebagai (sumber) pekerja asing. Tapi seperti saya sebut awalnya kita telah ada tenaga asing di Malaysia di bawah pelarian UNHCR, perlu pakai apa yang kita ada, supaya tak perlu import banyak pekerja asing,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan keputusan Indonesia untuk membeku sementara penghantaran semua pekerja ke Malaysia serta-merta.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, langkah itu diambil berikutan pelanggaran syarat-syarat dalam memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.
Mengulas lanjut, Chris berkata, Malaysia juga perlu mula melihat langkah jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
"Kita harus belajar dari China, di mana mereka menggunakan automasi untuk sektor pembinaan, malah kita boleh belajar dari India, di mana mereka guna automasi dalam sektor peladangan.
“Jadi apabila kita gunakan automasi, bermaksud kita harus melabur. Kita melabur tapi untuk jangka masa panjang. Seperti 20 tahun atau 25 tahun akan datang, apabila kita menggguna pakai teknologi automasi, kita tak perlu tenaga kerja buruh yang banyak sama sekali," katanya lagi.
#Chris Wong #pekerja asing #Indonesia #UNHCR #Dewan Perdagangan Digital Malaysia
;