Tenaga boleh diperbaharui: Usaha kolektif ke arah negara mampan tenaga
Haikal Raman
Oktober 25, 2021 11:01 MYT
Oktober 25, 2021 11:01 MYT
SEBAGAI rakyat Malaysia yang prihatin pastinya kita sedar bahawa tenaga amat berharga dan bahan mentah sangat diperlukan untuk menjana masa depan negara agar lebih lestari.
Kita turut sedia maklum bahawa penjanaan tenaga elektrik adalah berasaskan minyak dan arang batu yang tidak boleh diperbaharui.
Melihat kepada realiti semasa, apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, kadar permintaan terhadap keperluan sumber tenaga juga semakin tinggi.
Ia sekali gus memberi persoalan terhadap bagaimana sekiranya sumber tersebut mengalami kekurangan bekalan?
Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun dari segi pertumbuhan ekonomi, sosial serta pembangunan guna tanah.
Perkembangan tersebut turut mempunyai signifikan terhadap permintaan kepada sumber tenaga elektrik bagi pelbagai tujuan termasuk pengangkutan, perindustrian serta domestik.
Pemerhatian aktivis alam sekitar barat, Paul Ehrlich dan Barry Commober merumuskan bahawa peningkatan permintaan bekalan tenaga elektrik turut dipengaruhi oleh populasi.
AWANI Pagi: Kepentingan mencapai pelepasan sifar bersih
Tenaga boleh diperbaharui (RE) sebagai agenda negara
Di Malaysia peningkatan aliran tenaga elektrik dipacu oleh peningkatan populasi penduduk dan permintaan terutama sekali menerusi sektor industri, komersial dan kediaman.
Perkara tersebut memacu perbincangan pelbagai pihak di semua peringkat untuk memastikan kelangsungan sumber tenaga hijau bagi kesejahteraan rakyat dan negara.
Ia turut menjadi agenda kerajaan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), yang mana Malaysia kini memberi fokus kepada rancangan penjanaan tenaga.
Rancangan peralihan tenaga sehingga tahun 2040 ini menetapkan sasaran 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2035.
Kapasiti terpasang bagi RE di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 7,995 megawatt (MW), manakala menjelang 2035 kapasitinya diunjurkan meningkat sekali ganda sehingga 18,000 MW.
RE muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga paling cepat berkembang dan dijangka menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040.
Apakah itu RE dan dasar diperkenalkan?
RE merupakan bentuk tenaga premier daripada sumber tidak habis seperti tenaga suria, biojisim, biogas, kuasa hidro, hibrid solar dan tenaga panas bumi.
Penggunaan sumber RE adalah konsep mesra alam… ‘bersih’ dan ‘hijau’ kerana ia menghasilkan sedikit pencemaran alam sekitar berbanding sumber tenaga tidak boleh diperbaharui.
Ia juga sumber tenaga yang terus dihasilkan oleh sifatnya. Sumber-sumber ini juga tidak boleh secara langsung menyediakan tenaga, namun sumber tenaga boleh berubah menjadi bentuk tenaga boleh digunakan.
Banyak usaha sedang dijalankan untuk menggalakkan RE sebagai alternatif kepada sumber sedia ada dalam memastikan kelestarian alam sekitar.
Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui Kebangsaan dan Pelan Tindakan dan Akta Diperbaharui 2011 telah diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan sumbangan kepada campuran bahan api.
Ia menyumbang kepada janaan pertumbuhan dan memulihara alam sekitar yang menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi mampan.
Perkara ini turut selaras dengan komitmen Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dalam hala tuju kelestariannya dengan aspirasi bagi mencapai sifar emisi menjelang tahun 2050. Ia adalah langkah ke arah dekarboniasasi dan RE.
Komitmen dan ikrar TNB terhadap ESG
TNB baru-baru ini turut mendedahkan hala tuju kelestarian syarikat untuk tempoh 30 tahun akan datang selain menyasarkan untuk mencapai 8,300MW RE menjelang tahun 2025.
Syarikat utiliti nasional itu juga berusaha menangani isu berkaitan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara khusus selain memastikan pendapatan menerusi loji janakuasa arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatan.
Malah, TNB sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan membuat pelaburan dalam loji arang batu selepas Jimah East Power beroperasi pada tahun 2019.
Antara inisiatif dilaksanakan TNB ke arah kemampanan tenaga adalah dengan memperkenalkan Rumah Sifar Tenaga bersama integrasi RE dan teknologi cekap tenaga bagi menggerakkan kediaman pintar.
Adaptasi teknologi RE itu adalah seperti panel solar photovoltaic (PV), bateri simpanan RE dan stesen mengecas kenderaan elektrik (EV) dikuasakan oleh grid.
Manfaat RE kepada pengguna dan alam sekitar
Pelaksanaan RE tidak hanya memberi manfaat kepada kelangsungan sumber bahan mentah sebaliknya turut mesra alam kerana ia melindungi pelepasan karbon kepada alam sekitar.
Manakala selaku pengeluar tenaga hijau di bawah Tarif Galakan Tenaga (FiT), ia dibayar kadar lebih tinggi daripada tarif elektrik biasa.
Pengguna pula diberi peluang bagi mengeluarkan tenaga elektrik sendiri dan melindungi daripada kenaikan harga tenaga.
Ia sekali gus menghasilkan tenaga yang bersih dan membantu dalam membina masa depan lebih hijau bagi Malaysia dan dunia secara amnya.
Masa depan alam sekitar lebih lestari, kualiti kehidupan dan kesejahteraan generasi masa hadapan berada pada usaha kemampanan kita pada hari ini.
Sokong untuk langkah penghasilan tenaga secara lebih bersih dan hijau!