Tenaga boleh diperbaharui: Andai lambat, Malaysia akan ditinggalkan negara Asia Tenggara
Ridauddin Daud
Disember 23, 2023 07:16 MYT
Disember 23, 2023 07:16 MYT
KEMENTERIAN Ekonomi melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 pada 27 Julai lepas.
Pelan itu dijangka membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion dan RM1.85 trilion menjelang tahun 2050, melambangkan juga komitmen kerajaan dalam beralih ke tenaga boleh diperbaharui.
Negara di Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia, malah Vietnam misalnya, sudah mula mengorak langkah.
Jika Malaysia terlambat, tidak mustahil negara-negara itu akan jauh tertinggal di belakang.
Maka tidak hairanlah, dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sering membincangkan perihal tenaga boleh diperbaharui.
Perbincangan itu bertitik-tolak dari fakta bahawa satu pertiga daripada penjanaan kuasa global akan dijana menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
Bahkan, konsensus di Persidangan Pihak-pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Perubahan Iklim yang ke-28 (COP 28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini menyatakan dengan jelas negara-negara terlibat mahu mengurangkan penggunaan bahan api fosil.
Kenyataan jelas itu menggambarkan bahawa dunia kini sudah mahu bergerak ke tenaga boleh diperbaharui, tenaga yang juga mesra kepada alam sekitar.
Mengambil contoh Asia tenggara, Singapura boleh dikatakan sudah ke depan, Indonesia pula mahu membina panel solar terapung yang besar di Jawa Timur.
Vietnam juga semakin aktif dalam mengaplikasikan tenaga solar dan melihat perkara itu.
Bekas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ASEAN sebenarnya memerlukan satu pendekatan baharu.
Bercakap kepada Astro AWANI ketika sidang itu berlangsung, Nik Nazmi berkata, rantau itu harus memberi tumpuan membantu negara kurang berkemampuan untuk sama-sama mengadaptasi kepada ekonomi hijau.
“Ada beberapa isu, misalnya di Malaysia, kekangan kita apa? Kekangan kita, tarif elektrik paling rendah dalam kalangan negara ASEAN.
“Kalau Filipina, kos itu sangat tinggi, itu membolehkan mereka menggunakan bateri. Vietnam, tenaga solar mereka banyak tetapi mereka ada kekangan dari segi grid.
“Ini antara perkara yang perlu kita kerjasama antara satu sama lain supaya ada satu pendekatan ASEAN.
“Kita ada contoh sebelum ini, tentang soal jerebu. Tetapi itu pun kita tahu ada limitasi kerana ada dasar. Itu kita perlu lihat semula dalam konteks 2023 ini,” katanya.
Adakah kita sudah bersedia dan perlukah kita secepat mungkin melaksanakan semua ini?
Pengerusi Pusat Sistem Kuasa dan Elektrik, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Ir Prof Dr Lim Yun Seng ada pendapatnya.
Menurutnya, pada waktu ini, boleh dikatakan tiada satu pun negara dalam dunia bersedia sepenuhnya untuk beralih ke sumber tenaga baharu.
Tambah beliau, Malaysia perlu terus bergerak ke arah tenaga boleh diperbaharui namun segala tindakan diambil tidak boleh terlalu drastik.
Katanya, setakat ini Malaysia bergerak dengan perlahan namun ia bukan satu masalah kerana menurutnya proses dekarbonisasi tidak boleh terburu-buru.
“Kita tidak boleh melakukannya dengan pantas kerana kita mempunyai banyak perkara lain yang perlu ditangani apabila kita menyahkarbon sistem kita. Contohnya, cara mengendalikan sisa selepas projek solar.
“Kita perlu memberi tumpuan kepada itu dan apa yang akan kita lakukan dengan loji janakuasa sedia ada?
“Kita tidak boleh menghapuskannya begitu saja kerana kita telah melaburkan banyak wang dalam loji tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.
Justeru, beliau mencadangkan infrastruktur untuk menguruskan sisa dekarbonisasi harus dibina seiring dengan mengaplikasikan tenaga boleh diperbaharui itu, termasuk berkaitan kereta elektrik (EV).
Negara perlu memastikan semua infrastruktur siap bagi membolehkan teknologi dibawa masuk.
“Semua itu harus disediakan terlebih dahulu. Pada masa sama, kita perlu bina pusat kitar semula, yang akan menguruskan semua bateri lama (bateri kenderaan elektrik).
“Kalau tidak, semua bateri itu akan terkumpul dan akan ada isu alam sekitar yang lain pula,” ujarnya.
Begitupun, katanya, sedia atau tidak, usaha perlu digerakkan sepantas mungkin dan teknologi rendah karbon yang ada harus digunakan sesegera mungkin.
Pada masa sama, negara juga perlu mencari cara terbaik untuk melupuskan sisa daripada teknologi baharu itu, tidak kira sama ada mereka sudah bersedia atau tidak.
Kesimpulannya, jika Malaysia bergerak terlalu lambat, maka negara akan ketinggalan.