Temubual CNN: Najib jawab isu kalimah Allah, nafi bersifat perkauman

Azyyati Ahmad
November 1, 2013 14:59 MYT
"Keutamaan saya adalah memastikan keamanan dan keharmonian semua kaum di Malaysia, itu yang paling penting”
Itu ketegasan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam temubual bersama wartawan CNN Christiane Amanpour yang disiarkan pagi tadi.
Dalam temubual itu juga Najib di tanya mengenai isu kalimah Allah dan pengharaman beberapa konsert bintang antarabangsa di Malaysia.
“(Dalam isu Kalimah Allah) bila mahkamah memutuskan tentang sesuatu perkara, saya perlu menghormatinya. Ini bukan bertujuan untuk memenangi hujah undang-undang tetapi ia lebih daripada itu” jelas Najib.
Di dalam temubual sepanjang 10 minit itu, Najib turut menyatakan kerajaan tidak sekali-kali bersifat perkauman malah sentiasa mengambilkira keperluan golongan minoriti.
“Kami sangat komited dengan wawasan jangka panjang untuk negara. Untuk mencapainya, tentulah ada halangan sepanjang perjalanan.
“Untuk mencapai kestabilan jangka panjang, kita harus pastikan majoriti rakyat tidak terpinggir” jelas Najib lagi.
Najib turut memberi contoh perhatian yang diberikan kepada masyarakat India dalam Belanjawan 2014.
“Kita memenuhi keperluan dengan cara yang sangat inklusif bagi golongan minoriti. Sebagai contoh, dalam ucapan belanjawan saya, saya berusaha menangani permasalahan yang dihadapi kaum India di Malaysia.
“Kami tidak bersifat perkauman langsung” tegasnya.
Amanpour turut bertanya dengan memetik ucapan Najib ketika di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan lalu, dimana Najib berkata ancaman terbesar kepada umat Islam seluruh dunia ketika ini datangnya daripada "dalam" atau dikalangan mereka sendiri dan bukannya dari dunia luar.
“Keadaan (persengketaan umat Islam) kini ditahap yang amat membimbangkan. Konflik yang berlaku antara puak Sunnah dan Syiah telah banyak memecahbelahkan masyarakat Islam di dunia.
“Sudah tiba masanya kita (umat Islam) menyedari bahawa kesederhanaan adalah satu-satunya jalan yang terbaik untuk memastikan keamanan dan kestabilan dunia Islam” ujarnya lagi.
Najib turut ditanya mengenai pelbagai dakwaan yang dilemparkan kepada kerajaannya selepas Pilihan Raya Umum ke -13 yang lalu termasuk penipuan, pembelian undi, pengundian dua kali dan isu pengundi hantu.
“Tuduhan tersebut adalah benar-benar tidak berasas.
Sebagai contoh, mereka mendakwa kami membawa masuk 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi pada pilihan raya yang lalu. Namun sehingga kini mereka tidak mampu menampilkan bukti terhadap dakwaan terbabit”
Najib turut menyentuh mengenai pembatalan lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Asia Tenggara bulan lalu.
“Beliau (Obama) ada menghubungi saya dan mengatakan apa pun terjadi beliau akan datang melawat Malaysia tahun depan (2014). Jadi kami akan menunggu ketibaan beliau”.
Obama dijadualkan mengadakan lawatan ke Malaysia pada 11 Okt yang lalu, namun membatalkannya di saat akhir susulan penutupan sementara kerajaan Amerika Syarikat.
“Rugi untuk Obama kerana terlepas peluang untuk berkongsi kepimpinannya. Saya tahu beliau kesal tentang perkara itu” katanya lagi.
Temubual itu diadakan di London ketika Perdana Menteri menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-9.
#Christiane Amanpour #CNN #Datuk Seri Najib Tun Razak #Perdana Menteri
;