JOHOR BAHRU: Program dialog Temu Anwar yang memberi ruang kepada masyarakat, khususnya anak muda, untuk mengutarakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, dekat sini, Ahad ini.

Anwar, menerusi hantaran di Facebook mengajak orang ramai menyertai program tersebut.

"Ayuh warga Johor Bahru ikut serta dalam sesi Temu Anwar yang akan diadakan Ahad ini bersamaan 3 September 2023 bertempat di UTM Skudai.

"Seperti kelaziman, peserta yang hadir diberi ruang secara terus untuk bertanyakan apa jua soalan kepada saya. Insya-Allah, ruang ini kita gunakan sebaiknya dalam mencambah budaya wacana yang sihat dan segar," katanya.

Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web temuanwar.com.

Program dialog bersiri itu sebelum ini telah diadakan di Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Negeri Sembilan dan Kedah.

-- BERNAMA