Temu duga pengambilan pekerja asing boleh diadakan di JTK negeri

Bernama
Oktober 5, 2022 20:12 MYT
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan pada Taklimat Khas Kepada Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran di Kementerian Sumber Manusia hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Sesi temu duga pengambilan pekerja asing oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) boleh diadakan di Jabatan Tenaga Kerja di setiap negeri dan bukan hanya di Putrajaya, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Khas KSM kepada Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham mengenai pengambilan pekerja asing di sini hari ini, beliau berkata ia antara syor yang diutarakan dalam pertemuan itu untuk temu duga diadakan di setiap negeri bagi mengelak kesesakan di pejabat KSM yang berpusat di Putrajaya.
"Cuma saya lihat ada permintaan, contoh mereka nak kekalkan pusat temu duga di negeri. Itu saya boleh, tak ada masalah, kita akan kekalkan," kata Saravanan.
Ngeh telah mengutarakan kesukaran yang perlu dilalui para majikan untuk hadir secara fizikal ke Putrajaya untuk melalui proses temu duga termasuk mengemas kini butiran kecil seperti alamat rumah dan nombor telefon.
Media sebelum ini turut melaporkan KSM dibanjiri majikan dari seluruh negara bagi urusan temu duga selain mendakwa sistem yang tidak teratur mengakibatkan ada majikan yang perlu datang berulang kali untuk mendapatkan nombor giliran temu duga.
Dalam taklimat yang berlangsung hampir dua setengah jam itu, turut diutarakan cadangan mengenai temu duga yang boleh diadakan secara maya bagi tujuan penjimatan masa dan pengurangan kos.
Saravanan bagaimanapun berkata temu duga perlu diadakan secara fizikal kerana bukan semua majikan boleh dipercayai kerana terdapat insiden majikan mengemukakan lesen pihak berkuasa tempatan dan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) palsu.
Sementara itu, beliau berkata pengambilan pekerja asing perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tiada lambakan pekerja asing dalam negara seperti yang berlaku pada 2009 sehingga terdapat warga Bangladesh yang tidur tepi jalan di ibu negara.
"Kita juga dalam fasa pemulihan ekonomi dan (untuk) atasi masalah pengangguran. Jangan kita terlalu terpedaya dengan permintaan industri untuk meluluskan pekerja asing sesuka hati sebab orang menekan kita dan akhirnya warga tempatan tiada kerja," katanya.
Saravanan turut memaklumkan jumlah pekerja asing di Malaysia setakat ini adalah hampir 1.24 juta dan angka itu akan meningkat kepada 2.2 juta orang dalam masa terdekat dengan mengambil kira proses eVDR (Visa Dengan Rujukan) dan proses biometrik serta ujian kesihatan yang sedang dijalankan di negara sumber.
-- BERNAMA
#temu duga #pengambilan pekerja asing #JTK negeri #Kementerian Sumber Manusia #ksm #M Saravanan #Putrajaya
;