Temu Anwar: PM gesa mahasiswa tolak pemikiran jumud, lapuk

Firdaus Azil
Disember 21, 2023 13:04 MYT
Anwar hadir pada Majlis Perasmian Anugerah Buku dan Program ‘Dialog Mahasiswa Temu Anwar’ di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, pada Khamis.- Foto Bernama
TANJUNG MALIM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mahasiswa di universiti-universiti awam dan swasta untuk menolak pengaruh pemikiran jumud, tetapi perlu melonjakkan status kampus sebagai mercu tanda pemikiran toleransi kemanusiaan.
Selain itu beliau berkata, golongan mahasiswa juga perlu lebih gigih menerapkan budaya membaca dalam kalangan masing-masing, dan meningkatkan penguasaan bahasa, khususnya Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara ini.
Kata Perdana Menteri, beliau banyak menghabiskan masa dalam tahanan dahulu dengan membaca karya-karya ulung ilmuan dalam dan luar negara, tetapi perubahan era ketika ini memerlukan beliau untuk terus membaca, khususnya berkenaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Tetapi saya terpaksa akui ada bidang baharu saya belum terokai, saya terpaksa baca tentang AI, baca buku tentang startups, oleh foundation atau yayasan paling terkemukakan dalam memulakan program startups di Silicon Valley.
“Ilmu dalam bidang itu saya akui saya agak lemah jadi saya terpaksa membaca, minggu lalu lalu dia (Mitchell David Kapoor, Pengasas Lotus Development Corporation) kirim buku tentang pengalaman dia. Jadi kalau saya dengan umur sekarang terpaksa membaca untuk mengikuti perkembangan semasa dan baharu, apa lagi anak muda,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap sempena Majlis Perasmian Anugerah Buku dan Program ‘Dialog Mahasiswa Temu Anwar’ di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini pada Khamis.
[TERKINI] Majlis Perasmian Anugerah Buku Negara
Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri telah menandatangani Plak Perasmian serta menyaksikan Montaj Pelancaran Buku – Ensiklopedia: Menyingkap Rahsia Sains dan Teknologi dalam Al-Quran, selain menyempurnakan Anugerah Buku Negara 2023.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar sekali lagi memetik beberapa karya ulung, dan menggesa golongan muda untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dalam budaya pemikiran yang jumud dan lapuk.
“Saya lontarkan idea dari buku-buku ini kerana apa? Kerana kita harus memberi jawapan, dan generasi muda dengan semangat kental baharu ini, harus mampu bangkit menguasai ilmu, serta mencabar pemikiran kolot, lapuk dan jumud dalam negara.
“Mencabar penguasa yang guna kuasa kerana bila (golongan itu) ada kuasa, ia diukur dengan apa? Kesombongan, keangkuhan, rompak kekayaan rakyat. Ada yang nak jadi Perdana Menteri kenapa? Untuk memastikan anak, menantu, kaum kerabat mereka jadi kaya, bukannya memikirkan masalah rakyat,” katanya lagi.
Justeru, Perdana Menteri sekali lagi menekankan kepentingan golongan muda untuk mengamalkan prinsip – menggapai langit, mengakar ke bumi selain terus mencari ilmu dengan niat untuk memberi sumbangan kepada bangsa dan masyarakat, dan menolak sikap hipokrasi, dan korupsi.
#Anwar Ibrahim #mahasiswa #UPSI #pemikiran jumud #temu anwar #AI
;