Temu Anwar: Isu syarat kemasukan OKU dalam sistem TVET dibawa ke Kabinet
Fareez Azman
September 3, 2023 17:48 MYT
September 3, 2023 17:48 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa isu syarat kemasukan Orang Kurang Upaya (OKU) ke dalam sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke mesyuarat Kabinet.
Jelas Anwar, syarat serta kelonggaran yang sesuai akan dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.
"Maaf saya tidak maklum perkara ini iaitu memastikan semua agensi kerajaan Persekutuan... memastikan pengambilannya.
"TVET dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi... saya akan beritahu dia walaupun ada kelonggaran kepada OKU... jangan kenakan syarat-syarat seperti dua tangan... syarat yang ada keupayaan... insya-Allah kita berikan ruang, saya tidak fikir terlalu masalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ruzimi Mohamed dalam sesi soal jawab Program Temu Anwar di UTM Skudai, pada Ahad.
Ruzimi terdahulu bertanya mengenai isu pelajar OKU dikenakan syarat tertentu yang tidak sesuai dengan keadaan mereka dalam permohonan program TVET.