Tempuh 18 jam perjalanan hantar bekalan makanan

Sinar Harian
September 16, 2023 09:00 MYT
Sukarelawan memunggah bekalan makanan dari bot ke dalam pacuan empat roda di Pensiangan, Sabah. - Foto Sinar Harian
NABAWAN: Lebih 300 penduduk mendiami empat perkampungan di Pensiangan, di sini, terputus bekalan makanan hampir seminggu berikutan laluan utama ke kawasan itu tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh.
Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Atar Andipoh berkata, sebanyak 76 keluarga terjejas akibat kejadian yang berlaku di sepanjang jalan dari daerah itu menuju ke Salinatan pada 5 September lalu.
“Satu-satunya laluan darat ke Salinatan gagal dilalui apabila terdapat lebih 30 runtuhan tanah berlaku sehingga ke persimpangan Jalan Pensiangan selain 10 lagi kejadian sama di Jalan Sabinait.
“Keadaan diburukkan lagi apabila jambatan utama turut dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurut Atar, terdapat 12 keluarga menetap di Kampung Salinatan, Kampung Tulir (14), Kampung Bolar Baru (20) dan Kampung Kasumunsing (16) selain 14 keluarga terdiri daripada guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan.
“Barang makanan dan keperluan asas penduduk mula kehabisan selepas tujuh hari kejadian tanah runtuh ini berlaku.
“Tiada siapa menduga bencana sebegini akan berlaku termasuk menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk tempoh waktu yang lama.
“Ketiadaan jambatan menyebabkan kenderaan penduduk tidak dapat keluar ke pekan berhampiran untuk mendapatkan bekalan makanan,” katanya.
Atar berkata, penduduk biasanya menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau motosikal untuk ke pekan atau kebun tetapi kini tidak dapat melaluinya lagi.
“Kebun penduduk jauh, manakala jalan pula putus dan tiada kenderaan dapat digunakan. Ini menyebabkan penduduk kehilangan sumber memperoleh makanan.
“Susulan bencana yang berlaku, kami sudah melaporkan kepada pihak berkaitan namun belum ada sebarang tindakan.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan mendapatkan maklumat mana-mana pihak yang mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu penduduk kampung ini,” jelasnya.
Katanya, keadaan bertambah kritikal apabila bekalan beras mula kehabisan sehingga menyebabkan penduduk terpaksa meminjam makanan atau beras daripada pihak sekolah.
“Tetapi keadaan ini (berkongsi makanan) juga tidak membantu dan mampu bertahan lama.
“Akhirnya saya bersyukur apabila SK Salinatan mengenali Forces of Love (FOL) untuk kami berhubung bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, mereka turut berterima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk FOL, SK Salinatan dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang prihatin dengan nasib penduduk kampung yang terjejas.
Sementara itu, wakil FOL, Yee Lai Lin berkata, pihaknya mengambil masa 18 jam untuk tiba di perkampungan itu.
“Laluan sangat mencabar disebabkan banyak laluan runtuhan tetapi ia tidak melemahkan semangat kami yang hadir bersama pasukan bomba untuk menyampaikan bantuan makanan kepada kira-kira 76 keluarga di Pensiangan.
“Sebanyak 2.3 tan makanan kering dan sayur-sayuran dibawa untuk keperluan penduduk,” katanya.
Katanya, FOL adalah kumpulan pertama menyampaikan bantuan makanan dan berusaha mengumpul dana sebaik menerima maklumat mengenai kesukaran penduduk kampung berkenaan.
“Kami menerima maklumat ini selepas tular di laman Facebook yang mendakwa penduduk kehabisan beras dan tidak dapat keluar membeli makanan akibat jalan runtuh.
“Pada awalnya, kami meminta pihak berkuasa membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menghantar bantuan.
“Selain itu, kita juga turut menerima khidmat bantuan bomba dan penghantaran dilakukan pada Selasa lalu membabitkan lima sukarelawan FOL dengan menaiki pacuan empat roda,” katanya.
Lai Lin berkata, selain melalui laluan tanah runtuh, mereka turut menggunakan bot untuk membawa makanan.
“Perjalanan kami bermula seawal jam 4 pagi dari Keningau ke Kuala Salong dan sepanjang perjalanan, kami terpaksa melalui laluan licin serta berlumpur disebabkan hujan lebat.
“Selepas itu, kami terpaksa menyewa bot dari Pegalungan Kecil sehingga ke Pensiangan dan bertukar bot lain untuk ke Tinting sebelum tiba di Salinatan.
“Malah, kami terpaksa berulang-alik kerana bot dinaiki sudah melebihi had muatan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad yang juga penaung misi berkenaan berkata, pembabitan pihaknya dalam misi menghantar bantuan adalah sebagai salah satu tanggungjawab kepada masyarakat setempat.
“Ini juga bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan disampaikan dengan lebih berkesan dengan mengambil prinsip 'no wrong door policy',” katanya. - Sinar Harian
#tanah runtuh #putus bekalan makanan #Pensiangan #jambatan hanyut
;