Tempoh seminggu untuk pasukan MySejahtera selesaikan isu tiada sijil digital - Khairy
Firdaus Azil
September 9, 2021 19:28 MYT
September 9, 2021 19:28 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan aplikasi MySejahtera diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan kes penerima tidak mempunyai sijil digital, biarpun telah lengkap dos vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sementara isu tersebut diselesaikan, golongan berkenaan dibenarkan menggunakan kad fizikal dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat sementara waktu, sebagai bukti penerimaan vaksin.
Selain itu, beliau berkata, penerima vaksin di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) yang lengkap dua dos juga dibenarkan menggunakan aplikasi Selangkah sebagai bukti.
“Semua masalah berkaitan MySJ, saya telah arahkan pasukan MySJ untuk selesaikan dengan segera, termasuk tak ada sijil digital, dan yang menjadi kebimbangan ramai, lengkap dos tapi tak dapat sijil.
“Saya beri mereka tempoh masa seminggu untuk selesaikan supaya dapat diberikan sijil digital, katanya kepada sidang media di Putrajaya hari ini.
#MySejahtera
#dos lengkap
#vaksin
#COVID-19
#Menteri Kesihatan
#Khairy Jamaluddin
#KKM
#kad fizikal
#SELangkah