Tempoh selesai kendali kargo di Pelabuhan Labuan kini hanya 24 jam
Bernama
September 3, 2022 04:40 MYT
September 3, 2022 04:40 MYT
LABUAN: Tempoh penyelesaian pengendalian kargo di pelabuhan kontena Labuan, Labuan Liberty Wharf bertambah baik daripada tiga hari kepada hanya 24 jam selepas berlabuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili.
Beliau berkata pelabuhan yang baru dinaik taraf dan disusun semula itu akan mewujudkan peluang dan perniagaan baharu yang akan memberi manfaat kepada pulau ini.
"Semasa taklimat itu, saya diberitahu pelabuhan ini beroperasi 24 jam sehari, bermakna kapal yang berlabuh di pelabuhan ini akan dikendalikan sehingga selesai dalam masa sehari, sekali gus mengurangkan kos operasi pelanggan," katanya kepada Bernama selepas melawat pejabat pemegang konsesi Labuan Liberty Wharf, Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd di sini semalam.
Beliau yang sedang mengadakan lawatan kerja tiga hari di sini berkata pelabuhan kontena Labuan akan mencatatkan prestasi lebih baik sejak pengurusannya diambil alih oleh MPM pada 2020.
"Ketua Pegawai Operasi MPM Datuk Seri Patrick Tiong Chiong Kui juga memaklumkan kepada saya bahawa mereka sedang meneroka perniagaan lain seperti kapal persiaran untuk merancakkan sektor pelancongan di Labuan," katanya.
MPM telah diberikan tender untuk menaik taraf kemudahan itu pada Januari 2020, dan mengambil alih pelabuhan itu pada April tahun yang sama.
"MPM membelanjakan RM8 juta untuk kerja menaik taraf pelabuhan, dan ia membuat perbezaan yang besar berbanding keadaan sebelum ini.
"Kerja-kerja itu bukan mudah, lebih-lebih lagi dilakukan semasa pandemik COVID-19, tetapi mereka berjaya mengatasinya," katanya.
-- BERNAMA