Tempoh sebulan untuk Perkeso, Kesuma sediakan modul ‘upskilling’ baharu – PM Anwar

Firdaus Azil
Mac 1, 2024 17:02 MYT
Perdana Menteri berucap sewaktu menyempurnakan Karnival Kerjaya Myfuturejobs Kesuma Madani OKU dan TVET, serta Pelancaran Insentif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di Shah Alam, pada Jumaat. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) diberi tempoh sebulan untuk menyediakan modul latihan ‘upskilling’ yang baharu untuk pekerja, khususnya dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan teknologi yang pesat pada masa kini memerlukan jabatan itu melakukan anjakan paradigma, dan tidak lagi terikat dengan kaedah lama yang dianggap lapuk dan penuh dengan birokrasi.
Tambahnya lagi, beliau yakin Perkeso dan Kesuma tidak akan melihatnya sebagai satu bebanan, tetapi sebagai satu kesempatan luar biasa, serta kesediaan memikul amanah dan kepercayaan besar untuk membawa perubahan yang Perdana Menteri sifatkan sebagai mendesak dan kritikal untuk Malaysia.
“Itulah tujuan saya hadir pada hari ini. Memperkukuh keterangkuman, memastikan kita beralih dengan anjakan baharu. Tidak terikat melainkan yang baik dan perlu dipertahankan. Ubah dengan sebaiknya. Istilah memukau seperti anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh tidak akan membawa makna.
“Satu bulan, (ada) keputusan yang dibuat, cadangan bagaimana boleh kita adakan kejutan baharu dalam bentuk latihan termasuk apa yang dimasukkan upskilling, jauh lebih hebat dari apa yang kita lakukan sebelum ini,” katanya lagi.
Selepas tempoh satu bulan, Anwar berkata, cadangan tersebut harus dibawa oleh Menteri Kesuma, Steven Sim Chee Keong ke Mesyuarat Kabinet untuk beliau dan Jemaah Menteri lain teliti bersama.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menyempurnakan Karnival Kerjaya Myfuturejobs Kesuma Madani OKU dan TVET, serta Pelancaran Insentif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di sini, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, perubahan teknologi yang pesat merupakan satu cabaran yang sukar ditangani sekiranya negara masih terperangkap dengan kaedah latihan yang lama untuk golongan pekerja.
Tambahnya lagi, Kerajaan Madani mahu memastikan semua golongan pekerja diberi peluang untuk meningkatkan taraf kemahiran dan kehidupan, tanpa mengira pekerja itu sihat tubuh badan atau tergolong dalam kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya tekankan hal ini, saya yakin Kesuma dan Perkeso mempunyai keupayaan, sama ada itu pelajar atau pelatih OKU atau tidak, bagi saya itu soal secondary. Yang penting peluang mesti diberikan. Kita ketepikan karenah birokrasi, ini KSU pastikan. Ubah peraturan yang ada asalkan ia dibawa kepada Menteri, Kementerian dan ke Jemaah Menteri.
“Saya beri jaminan selagi saya mendapat (untuk mentadbir) ini saya pastikan kita rombak, asalkan ia boleh mencapai kemajuan yang diharapkan. Malaysia berhak terangkat semula sebagai negara maju dan terhebat di dunia ini,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #perkeso #Kementerian Sumber Manusia #upskilling
;