Tempoh reman remaja lelaki kes bunuh isteri anggota polis disambung
Bernama
Februari 17, 2015 19:08 MYT
Februari 17, 2015 19:08 MYT
Tempoh tahanan reman empat remaja lelaki berkaitan kes bunuh isteri anggota polis di Taman Tanjung Mas, Tanjung Rambutan pada 11 Februari lepas, disambung enam hari lagi bermula esok.
Majistret Haslinda A. Raof membenarkan suspek berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun itu direman sehingga 23 Februari bagi membantu siasatan.
Peguam yang mewakili keempat-empat remaja itu, Mohamed Yazzer Azzad Zainudin berkata tempoh reman yang terdahulu tamat hari ini dan Majistret membenarkan tempoh reman disambung.
Pada 11 Februari lepas, Izaah Abdullah, 52, yang merupakan isteri anggota polis peronda lebuh raya di Slim River, Tanjung Malim, ditemui mati di atas katil rumahnya dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan tikaman pada lehernya.
Susulan kejadian itu, polis menahan empat remaja di sekitar kawasan perumahan itu serta di Bercham.