Tempoh reman pemimpin pembangkang Sabah disambung

Ruzaini Zulkepli
Januari 8, 2018 10:40 MYT
PEMIMPIN pembangkang yang dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk lanjutan tempoh reman pagi tadi. - Gambar Astro AWANI
Tempoh reman seorang pemimpin kanan parti politik pembangkang disambung selama empat hari bermula esok sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan berhubung kes urusan pembelian tanah ladang sawit bernilai kira-kira RM155 juta di Tongod.
Lanjutan reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu susulan reman sebelumnya yang bermula pada Sabtu lalu tamat hari ini.
Reman terbabit adalah bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, pemimpin politik yang berpangkat Datuk itu hadir ke pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 8.30 pagi hari ini dengan diringgi sepasukan pegawai SPRM Sabah.
Beliau kemudiannya keluar dari kamar Majistret pada jam 9.40 pagi tadi.
Ahli politik pembangkang itu diwakili peguamnya, Martin Tommy manakala SPRM Sabah diwakili oleh Pegawai Pendakwa Faliq Basirudin.
Pada 5 Januari lalu, pemimpin pembangkang itu hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada jam 10.25 pagi bagi membantu siasatan urus niaga pembelian tanah di Tongod bernilai RM155 juta beberapa tahun lalu sebelum ditahan beberapa jam kemudian.
#pembangkang #pemimpin #Rasuah #SPRM #Tahan #Tongod
;