Tempoh reman pegawai SPRM didakwa minta rasuah, dilanjut

Astro Awani
Jun 12, 2017 13:04 MYT
Suspek dipercayai bertindak memeras ugut anggota polis dengan menetapkan bayaran RM3,000 setiap bulan bagi mengelakkan ditangkap oleh SPRM. - Gambar fail
Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini melanjutkan tempoh reman seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama dua hari bagi membantu siasatan kes memeras ugut anggota polis.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret NurulRasyidah Mohd Akit kira-kira jam 11 pagi tadi di lokap Mahkamah Majistret Bukit Mertajam susulan permohonan oleh pihak polis.
Terdahulu, suspek tiba di perkarangan mahkamah kira -kira jam 9.40 pagi selepas tempoh tahanan reman selama tiga hari berakhir hari ini.
Pada 9 Jun lepas, suspek berusia 38 tahun yang bertugas menyelia kes di Zon Utara itu diberkas sepasukan polis dari bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) kira-kira jam10.20 malam.
Dalam serbuan itu polis turut merampas beberapa barang milik lelaki terbabit antaranya kad kuasa SPRM, wang tunai berjumlah RM3,000, kelongsong peluru 9mm jenis SME, sebuah kereta Volkswagen Polo Sedan serta telefon bimbit.
Suspek dipercayai bertindak memeras ugut anggota polis dengan menetapkan bayaran RM3,000 setiap bulan bagi mengelakkan ditangkap oleh SPRM.
Kes disiasat dibawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat atau mana-mana satu daripadanya, jika sabit kesalahan.
#Mahkamah Majistret #peras ugut #polis #Seberang Perai #SPRM
;