Tempoh reman bekas pegawai kanan bahagian JPM dilanjut sehingga esok

Bernama
September 2, 2018 04:22 MYT
Majistret Intan Syafinaz Ros'lin melanjutkan tempoh reman berkenaan sehingga jam 5 petang esok. - Foto fail
Tempoh reman bekas pengarah agensi perisikan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bergelar 'Datuk' dilanjutkan sehari lagi bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret Intan Syafinaz Ros'lin melanjutkan tempoh reman berkenaan sehingga jam 5 petang esok selepas membenarkan permohonan SPRM.
Suspek yang ditahan SPRM pada Selasa lepas telah direman selama lima hari bermula Rabu lepas bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding reman itu, peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili suspek berkata, SPRM pada mulanya memohon tempoh reman anak guamnya itu dilanjutkan tujuh hari lagi tetapi majistret hanya membenarkan dilanjutkan satu hari sahaja bermula hari ini sehingga 5 petang esok.
BACA: Bekas pegawai kanan bahagian JPM direman lima hari
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada jam 9.55 pagi.
Selain suspek, turut direman sebelum ini ialah enam Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seorang timbalan pengarah bergelar Datuk yang bertugas di MEIO atau Jabatan Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri.
BACA: Seleweng dana kerajaan: TKP, enam PTD bebas reman SPRM
Ketujuh-tujuh mereka yang direman lima hari dari Selasa dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM. Sehingga kini sembilan orang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Penahanan terakhir ialah seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun berstatus penduduk tetap United Kingdom yang ditahan di Kelantan Rabu lepas. Ahli pernigaan berkenaan kini direman tujuh hari mulai Khamis lepas.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki Azam dilaporkan berkata SPRM percaya wang milik kerajaan berjumlah AS$12 juta telah diselewengkan pihak tertentu.
-- BERNAMA
#bekas pengarah agensi perisikan #Datuk #Jabatan Perdana Menteri #Pilihan Raya Umum ke-14 #PRU14 #reman #Shaharudin Ali #SPRM