Tempoh PKPB di Sarawak dilanjutkan hingga 7 Jun

Nickyson Nyambar
Mei 15, 2021 11:57 MYT
Dalam perkembangan COVID-19 pada hari ini, Sarawak merekodkan 324 kes baharu dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Miri, Bintulu, Sibu dan Kapit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu untuk tempoh tiga minggu lagi.
Menurut JPBN Sarawak dalam kenyataannya pada Sabtu, tarikhnya dilanjutkan dari 18 Mei hingga 7 Jun 2021.
Ujar JPBN Sarawak, pelanjutan ini selaras dengan situasi kes positif COVID-19 yang dilihat masih tinggi hingga ke hari ini.
"Maklumat tambahan lengkap berhubung garis panduan (SOP) lanjutan PKPB akan dipaparkan di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN)," kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan yang sama, JPBN Sarawak turut melaporkan pertambahan 324 kes baharu COVID-19 dengan sejumlah 237 kes dikesan di Miri, Bintulu, Sibu dan Kapit.
"Daerah-daerah yang merekodkan kes pada hari ini ialah Daerah Miri (146), Bintulu (36), Sibu (33), Kapit (22), Selangau (16), Pusa dan Kuching (13).
"Manakala Saratok dan Mukah (10), Beluru (5), Belaga serta Subis (3).
"Bakinya dua kes direkodkan di Sri Aman, Matu, Pakan, Sebauh, dan Sarikei.
Bukit Mabong, Betong, Meradong dan Song pula masing-masing merekodkan satu kes," Jelas JPBN menerusi kenyataan sama.
Penambahan kes-kes baharu di daerah di Sarawak ini menjadikan
jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 37,978 kes, dedah JPBN Sarawak.
#Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #JPBN Sarawak #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #perintah kawalan pergerakan #dilanjutkan