Tempoh permohonan E-Kad tidak akan dilanjutkan - KP Imigresen

Bernama
Jun 20, 2017 18:26 MYT
Tempoh permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) yang membolehkan penggajian semula pekerja asing tanpa izin (PATI) yang berakhir pada 30 Jun ini tidak akan dilanjutkan.
Tempoh permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) yang membolehkan penggajian semula pekerja asing tanpa izin (PATI) yang berakhir pada 30 Jun ini tidak akan dilanjutkan, tegas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata pada 28, 29 dan 30 Jun, operasi pendaftaran E-Kad di pejabat Imigresen di seluruh negara akan dibuka sehingga 12 tengah malam bagi membolehkan para majikan merebut peluang mendaftarkan pekerja asing masing-masing.
"Saya amat kecewa berikutan hanya 21,789 majikan yang tampil mendaftarkan pekerja masing-masing. Program yang kita lancarkan sejak 15 Feb lalu adalah percuma tetapi masih lagi majikan tidak ambil kisah atau peduli dengan peluang disediakan ini.
"Mungkin mereka suka buat di saat akhir dan berlaku kesesakan di ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya dan Kuala Lumpur. Mungkin majikan ingat kita akan lanjutkan masa, ia (lanjutan) tidak akan berlaku sama sekali," katanya dalam sidang media berhubung status permohonan E-Kad di sini,hari ini.
Mustafar berkata mulai 1 Julai, operasi besar-besaran menggempur PATI yang gagal didaftarkan oleh majikan masing-masing akan diadakan di seluruh negara dan pekerja asing yang ditangkap akan diusir keluar Malaysia.
Program e-Kad yang dilancarkan di seluruh negara bertujuan membolehkan PATI mendapatkan permit kerja sah selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Menurut Mustafar, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan 118,491 E-Kad dan mendaftar 131, 269 PATI sejak 15 Feb sehingga 18 Jun, manakala selebihnya sedang diproses untuk mendapatkan kelulusan.
"Angka ini memang jauh dari kita jangkakan untuk majikan-majikan datang berdaftar. Jumlah kasar pendatang asing di negara ini adalah sejuta orang tetapi Jabatan Imigresen menyasarkan 400,000 hingga 600,000 orang akan didaftarkan menerusi E-Kad ini. Itupun nampak jauh dari sasaran," katanya.
Ditanya adakah permohonan daripada majikan ditolak, Mustafar berkata semua permohonan itu disemak secara terperinci dengan mengambil biometrik majikan dan pekerja.
Setakat ini, katanya hanya 4,616 majikan ditolak kerana disenarai hitam kerana pelbagai sebab antaranya pekerja terlibat dalam jenayah serta majikan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, hanya lima industri yang dibenarkan membuat permohonan dan E-Kad yang telah dikeluarkan adalah sebanyak 63,186 kepada sektor pembinaan, perkhidmatan (32,521); perkilangan (10,477); perladangan (5,716); dan pertanian (6,591).
Tinjauan mendapati ramai majikan dan pekerja asing berkumpul di perkarangan Jabatan Imigresen di sini untuk mendaftarkan PATI masing-masing sebelum tamat tempoh 30 Jun ini.
-- BERNAMA
#e-kad #Enforcement Card #majikan #Mustafar Ali #pekerja asing #penggajian semula pekerja asing tanpa izin
;