Tempoh percubaan pesuruhjaya kehakiman maksimum dua tahun - Ketua Hakim Negara
Bernama
April 9, 2019 05:22 MYT
April 9, 2019 05:22 MYT
Tempoh percubaan bagi pesuruhjaya kehakiman (JC) kini maksimum dua tahun dan tiada perlanjutan, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.
"Dua tahun, jika anda tidak mencapai tahap ditetapkan, anda harus berhenti. Sebelum ini, tempoh percubaan boleh dilanjutkan. Kini, tidak lagi. Maksimum dua tahun," katanya kepada pemberita selepas 10 pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah setelah ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Mereka ialah Datuk Rozana Ali Yusoff, 58; Abu Bakar Katar, 59; Hayatul Akmal Abdul Aziz, 57; Datuk Faizah Jamaludin, 52; Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, 55; Wong Chee Lin, 58; Darryl Goon Siew Chye, 62; Ismail Ibrahim, 57; Dean Wayne Daly, 54; dan Celestina Stuel Galid, 50.
Beliau berkata sebelum ini, JC perlu menjalani tempoh percubaan antara tiga dan enam tahun, yang dianggap agak lama.
Katanya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang dipengerusikannya, mencadangkan calon untuk dinaikkan pangkat berdasarkan kemampuan mereka untuk menulis penghakiman, pembawaan hakim itu dan penyelesaian kes mahkamah.