Tempoh pendaftaran lewat kelahiran akan dilanjut kepada 60 hari

Bernama
November 24, 2016 11:35 MYT
Nur Jazlan (gambar) berkata langkah itu dilakukan selepas mengambil kira kepelbagaian situasi dan latar belakang masyarakat Malaysia masa kini. -Gambar fail
Tempoh pendaftaran lewat kelahiran akan dilanjutkan dari 42 kepada 60 hari bagi memberi peluang kepada ibu bapa atau ibu tunggal berpantang dan menguruskan bayi sebelum hadir di hadapan pendaftar kelahiran.
Perkara itu antara terkandung dalam Rang Undang-undang Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2016 yang dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Nur Jazlan berkata langkah itu dilakukan selepas mengambil kira kepelbagaian situasi dan latar belakang masyarakat Malaysia masa kini serta bertepatan dengan polisi kerajaan yang telah melanjutkan cuti bersalin kepada 90 hari.
Untuk rekod, beliau berkata sebanyak 124,762 pendaftaran lewat kelahiran direkodkan sepanjang 2010 hingga 2015.
Katanya pindaan akta itu antara lain membolehkan pendaftaran kelahiran kanak-kanak yang lahir di Semenanjung Malaysia, dilakukan di mana-mana sahaja kawasan pendaftaran dan tidak semestinya di tempat kelahiran.
Beliau berkata bagi pendaftaran kelahiran biasa pula tempoh memberi maklumat kelahiran bayi juga akan dilanjutkan dari 14 kepada 60 hari.
Nur Jazlan berkata dalam situasi kematian pula, tempoh pendaftaran kematian akan dilanjutkan dari 24 jam kepada tujuh hari bagi memberi keutamaan kepada kebajikan waris dan anggota keluarga si mati.
"Lanjutan tempoh itu bagi membolehkan semua majlis kewajipan keagamaan dan hal-hal berkenaan dengan pengurusan kematian dilaksanakan sebelum waris dan ahli keluarga hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftar kematian tersebut," katanya.
Nur Jazlan berkata pendaftaran kematian yang berlaku di Semenanjung Malaysia juga boleh didaftarkan di mana-mana kawasan pendaftaran berbanding sebelum ini, yang hanya membenarkan pendaftaran dilakukan di kawasan kematian itu sahaja.
Selain itu, tempoh untuk memberi maklumat mengenai sesuatu kematian kepada pendaftar akan dilanjutkan dari 12 jam kepada tujuh hari, katanya.
Beliau berkata untuk rekod, 72,929 kes pendaftaran lewat bagi kes kematian direkodkan dari 2003 hingga 2014.
Nur Jazlan berkata kemudahan untuk melakukan pendaftaran kelahiran dan kematian dilakukan di mana-mana pejabat pendaftar itu boleh dicapai dengan pelaksanaan daftar berpusat dalam bentuk pangkalan data berkomputer.
Sementara itu, semasa menggulung perbahasan tersebut, beliau menegaskan denda bagi mereka yang gagal mendaftar kelahiran atau kematian akan dinaikkan dari RM1,000 kepada RM20,000, dan penjara dari 12 bulan kepada tiga tahun.
Rang itu kemudian dibaca untuk kali ketiga dan diluluskan. -- Bernama
#bayi #bersalik #daftar bayi #ibu berpantang #kelahiran #pendaftaran #sijik kelahiran
;