Tempoh moratorium berakhir September ini - Menteri Kewangan

Umavathi Ramayah
Julai 21, 2020 13:01 MYT
Tengku Zafrul berkata, kerajaan masih lagi mengadakan perbincangan dengan institusi perbankan untuk membuat pertolongan secara bersasar. - Gambar fail BERNAMA
Tempoh moratorium bayaran balik pinjaman yang diputuskan selama enam bulan sebelum ini akan berakhir September ini.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan masih lagi mengadakan perbincangan dengan institusi perbankan untuk membuat pertolongan secara bersasar.
"Antara contoh pertolongan bersasar yang dibincangkan adalah termasuk memanjangkan tempoh pembayaran sekaligus mengurangkan ansuran bulanan dan mengubah terma dan syarat serta mengurangkan kadar faedah sehingga peminjam stabil.
"Tapi buat masa ini kita harapkan peminjam semua berjumpa dengan bank-bank dan mendapatkan bantuan," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada tempoh moratorium akan dilanjutkan atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM100 bilion telah diperuntukan menerusi program moratorium tersebut.
Katanya, selepas sektor ekonomi kembali dibuka mulai 4 Mei lalu, rakyat dan peniaga sudah menjana kembali pendapatan mereka.
Beliau juga memberitahu yang ada dalam kalangan peminjam yang sudah mula membayar semula pinjaman mereka.
#Ahmad Maslan #Dewan Rakyat #kerajaan #Parlimen
;