Tempoh maksimum 28 hari tahanan Sosma sesuai - Nur Jazlan

Bernama
Mac 25, 2017 23:47 MYT
NUR JAZLAN: Ada pihak mengatakan tempoh tahanan selama 28 hari itu adalah lama dan perlu dikurangkan. Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpendapat tempoh 28 hari adalah masa yang mencukupi diperlukan polis. -Gambar fail
Tempoh penahanan maksimum 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) memadai dan sesuai walaupun terdapat pihak mempertikaikannya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau menegaskan polis memerlukan tempoh maksimum berkenaan memandangkan penyiasatan terhadap kes di bawah SOSMA seperti keganasan adalah kompleks dan rumit.
"Ada pihak mengatakan tempoh tahanan selama 28 hari itu adalah lama dan perlu dikurangkan. Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpendapat tempoh 28 hari adalah masa yang mencukupi diperlukan polis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-26 sebuah akhbar tempatan di sini, hari ini.
Nur Jazlan berkata KDN akan membentangkan Rang Undang-Undang SOSMA untuk diperbaharui dan diluluskan di Dewan Rakyat minggu depan.
Katanya walaupun SOSMA mendapat kritikan pihak tertentu yang mempertikaikannya atas dasar kemanusiaan dan sebagainya, namun akta terbabit amat perlu di negara ini.
"Kerajaan mesti mendapatkan kelulusan Parlimen untuk meneruskan SOSMA dalam setiap lima tahun. Kita akan bahaskan akta ini minggu depan dan berpendapat 28 hari maksimum itu merupakan masa yang mencukupi untuk polis (menjalankan siasatan).
"Sudah terbukti, menerusi SOSMA, polis berjaya menyekat aktiviti keganasan di negara ini sekali gus menahan mereka yang terlibat dengan aktiviti berkenaan," katanya.
Menurut Nur Jazlan, walaupun tempoh tahanan maksimum 28 hari, namun mereka yang ditahan boleh dilepaskan lebih awal sekiranya polis berpuas hati terhadap keterangan dan siasatan yang dilakukan. -- BERNAMA
#Akta Kesalahan Keselamatan #KDN #Nur Jazlan #SOSMA
;