Tempoh kuarantin import lembu disingkatkan

Bernama
Julai 1, 2022 18:14 MYT
Tempoh kuarantin lembu import dari Thailand disingkatkan kepada tiga hari berbanding 14 hari sebelum ini bagi menampung bekalan lembu sempena Aidiladha. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tempoh kuarantin lembu import dari Thailand disingkatkan kepada tiga hari berbanding 14 hari sebelum ini bagi menampung bekalan lembu sempena Aidiladha.
Menurut sumber keputusan itu dibuat susulan perbincangan teknikal khas antara pihak berkaitan kedua-dua negara pada 24 Jun.
"Persetujuan bersama dicapai dengan menambah baik prosedur teknikal pengimportan lembu hidup dari Thailand untuk memenuhi keperluan bekalan penyembelihan korban di Malaysia, termasuk menyingkatkan tempoh kuarantin," katanya kepada Bernama.
Media sebelum ini melaporkan bekalan lembu untuk ibadah korban tahun ini dijangka berkurang sehingga 30 peratus berikutan keengganan Thailand mengeluarkan surat kebenaran eksport lembu ke negara ini.
Anggaran keperluan lembu untuk ibadah korban tahun ini adalah sekitar 38,265 mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, berbanding anggaran bekalan negara sebanyak 34,896 termasuk 852 yang diimport sehingga Mei lepas.
-- BERNAMA
#tempoh kuarantin #lembu import #Thailand #Aidiladha #Ibadah Korban
;