Tempoh kuarantin 3 hari sahaja adalah berbahaya - Najib

Astro Awani
Februari 10, 2021 09:35 MYT
Kluster Pasai adalah bukti kuarantin kendiri di rumah amat berisiko dan tempoh kuarantin untuk tiga hari sahaja adalah berbahaya, kata Najib. -Gambar hiasan
DATUK Seri Najib Tun Razak menegaskan Kluster Pasai adalah bukti kuarantin kendiri di rumah amat berisiko dan tempoh kuarantin untuk tiga hari sahaja adalah berbahaya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata kluster paling besar Sarawak itu telah mencatat 2,363 kes positif dan 18 kematian.
"Inilah risikonya bila menteri (serta rombongan mereka) yang pulang dari luar negara diberi kelonggaran untuk pengawasan tiga hari di rumah sahaja berbanding kuarantin 10 hari (sepatutnya 14 hari).
"Lagi bahaya jika jangkitan yang tersalah lepas ialah dari luar negara sebab ada kebarangkalian ia mutasi COVID-19 baharu yang lebih ganas seperti mutasi UK dan mutasi Afrika Selatan," katanya melalui satu hantaran di akaun Facebooknya pada Rabu.
Punca kluster Pasai melibatkan seorang wanita yang pulang dari Johor ke Sibu pada 29 Disember untuk majlis pengebumian ayahnya.
"Saringan yang dibuat setelah tiba di airport adalah negatif dan dia disuruh kuarantin kendiri 14 hari di kediaman sendiri.
"Malangnya tujuh hari kemudian, pada 5 Januari 2021, dia didapati positif COVID-19 dan tercetusnya kluster Pasai sehingga seluruh Sarawak terpaksa melaksanakan PKPB serta PKP di beberapa daerah," tambahnya.
Pada ketika ini katanya, kes aktif COVID-19 sudah mencecah 50,000 dan sudah jauh melepasi kapasiti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sistem kesihatan kita tidak mungkin dapat bertahan jika mutasi UK yang menular dengan kadar 70 peratus lebih laju merebak ke negara kita," ujarnya.
Sumber Facebook najibrazak
#Najib Razak #kuarantin tiga hari #Kluster Pasai #kuarantin kendiri #mutasi UK #mutasi Afrika Selatan
;