Tempoh KM dua tahun, Kabinet Sabah secara dasar luluskan tetapi perlu sokongan ADUN
Eleanor Michelle Patrick
Mac 22, 2022 12:09 MYT
Mac 22, 2022 12:09 MYT
KOTA KINABALU: Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan meminda Perlembagaan Negeri bagi mengehadkan pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.
Bagaimanapun, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, cadangan itu memerlukan sokongan wakil rakyat bagi membolehkan ia dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
"Saya ingin tegaskan sekali lagi, secara dasarnya Jemaah Menteri Sabah meluluskan cadangan mengehadkan pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.
"Ini perlu sokongan semua dan saya yakin (jika dapat sokongan) cadangan ini kita akan bawa ke mesyuarat persidangan DUN akan adatang untuk tujuan meminda Perlembagaan Kerajaan Negeri," katanya pada persidang DUN Sabah pada Selasa.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang ingin tahun adakah kerajaan negeri bercadang untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi membolehkan had pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.
Selain itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salleh Said Keruak (GRS-Usukan) yang bertanya sama ada terdapat perbincangan melibatkan perundangan sebelum Jemaah Menteri meluluskan cadangan itu, Abidin berkata, segala perbincangan akan dilakukan oleh pakar perundangan negeri dan Peguam Besar negeri.
"Apa juga berkaitan dengan perundangan, ia akan dibincang dengan pegawai pejabat Peguam Besar negeri," katanya.