Tempoh kempen PRN bukan lesen mencerca, memfitnah, titah Sultan Selangor

Bernama
Julai 21, 2023 19:51 MYT
Baginda mengingatkan hukum-hakam Allah tetap berjalan dalam keadaan apa pun dan siksa Allah menanti di akhirat bagi mereka yang mengumpat serta memfitnah. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua calon dan penyokong bahawa tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini bukanlah lesen untuk mengumpat, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda mengingatkan hukum-hakam Allah tetap berjalan dalam keadaan apa pun dan siksa Allah menanti di akhirat bagi mereka yang mengumpat serta memfitnah.
"Menerusi pemerhatian baginda, perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah SWT setiap kali menjelang pilihan raya, seolah-olah musim menjelang pilihan raya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat," menurut kenyataan itu.
Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam di Selangor agar memahami dan menghayati inti pati Khutbah Jumaat bertajuk 'Dosa Mengumpat dan Mencaci" yang dibacakan khatib di masjid-masjid seluruh negeri ini, hari ini.
Senada dengan isi kandungan khutbah berkenaan, baginda menekankan bahayanya perbuatan mengumpat, mencela, mencaci dan memaki hamun apatah lagi memfitnah yang mana ia tergolong dalam dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.
"Baginda sebelum ini sering menasihati umat Islam agar tidak terjerumus di dalam perbuatan terkutuk dan tercela ini. Baginda bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor ini akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal," menurut kenyataan itu.
Baginda juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun lepas bahawa isu-isu berkaitan dengan kaum, agama dan institusi diiraja tidak seharusnya dijadikan bahan berkempen supaya tiada pertelingkahan dalam kalangan umat Islam selain hubungan antara kaum dalam negara tidak terjejas.
"Perlembagaan Persekutuan telah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ianya akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.
"Raja dan Sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah Allah SWT serta tidak menyuruh melakukan maksiat. Sultan adalah payung yang melindungi sekalian rakyat jelata di bawah naungannya," titah baginda.
Baginda bertitah undang-undang negara juga memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada institusi diraja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Oleh itu, baginda mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata pepatah Melayu, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'," menurut kenyataan tersebut.
-- BERNAMA
#Sultan Selangor #PRN #memfitnah #hukum Allah
;