Tempoh dua penggal Idris Jala sebagai senator tamat 3 Sept - Abu Zahar

Bernama
Ogos 27, 2015 14:56 MYT
Idris menerusi akaun Twitternya semalam memaklumkan akan terus berkhidmat sebagai CEO Pemandu.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini mengesahkan tempoh maksimum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai senator akan berakhir, pada 3 Sept.
Katanya, mengikut Perlembagaan Persekutuan tempoh maksimum seseorang dilantik menjadi senator hanya dibenarkan untuk dua penggal atau enam tahun.
"Idris merupakan seorang senator yang berkebolehan, berwibawa, kreatif, dinamik dan telah menyumbang bakti kepada negara dan bangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
"Beliau adalah tokoh anak bangsa yang lahir dari pedalaman kampungnya di Sarawak. Saya berharap, walaupun tidak lagi menjadi senator, Idris akan tetap menyumbang untuk pembangunan negara," katanya.
Idris, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), unit di bawah Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai senator pada 1 Sept 2009 dan pada 3 Sept 2009 dilantik semula untuk penggal kedua.
Dengan pelantikannya sebagai senator, Idris anak kelahiran Bario, Sarawak dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga ke hari ini.
Melaui akaun Twitternya semalam, Idris mencatat: "Today was my last cabinet meeting. Constitutional limit of 6 years as senator/minister. I will continue as CEO of Pemandu" (Hari ini merupakan hari terakhir mesyuarat Kabinet. Perlembagaan hadkan enam tahun sebagai Senator/Menteri). Saya akan terus menjadi CEO Pemandu).
Idris, lulusan Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian), Pengajian Pembangunan/Pengurusan), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Perhubungan Perindustrian, Warwick University, United Kingdom, memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perhubungan Perindustrian Shell pada 1987, sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Shell Malaysia Ltd (Gas & Power) pada 2003.
Sebelum dilantik sebagai senator, beliau merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines.
#Abu Zahar Ujang #Dewan Negara #Idris Jala #senator #tempoh
;