Tempoh dua hingga tiga tahun selesai isu air, elektrik di Sabah - Hajiji

Bernama
Oktober 1, 2023 09:49 MYT
Hajiji berkata beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan kedua-dua kemudahan itu selaras komitmen kerajaan negeri dalam mensejahterakan kehidupan rakyat. - Gambar Sinar Harian
TUARAN: Kerajaan Sabah akan memastikan gangguan bekalan air dan elektrik yang dialami rakyat negeri itu pada masa ini dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan kedua-dua kemudahan itu selaras komitmen kerajaan negeri dalam mensejahterakan kehidupan rakyat.
"Jika diurus dengan baik, insya-Allah kita boleh atasi kedua-dua isu ini yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini.
"Kita adalah kerajaan bertanggungjawab, kerana itu kita buat perancangan rapi dan tentukan projek pembangunan rakyat berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik," katanya berucap pada Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman 2023 di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli, dekat sini yang dijangka dapat beroperasi awal tahun depan akan menambah kapasiti bekalan 80 juta liter sehari (JLH) bagi menampung keperluan di kawasan utara Kota Kinabalu dan daerah ini.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga sudah mula membina loji bagi meningkatkan bekalan air daripada 40 JLH kepada 80 JLH di Kogopon, Papar dengan kos RM380 juta dan dijadual siap pada 2026.
"Menerusi usaha kerajaan negeri, ditambah dengan peruntukan RM320 juta daripada kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di Sabah, masalah bekalan air di negeri ini dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata bagi mengatasi masalah bekalan elektrik, antara usaha yang diambil ialah menerusi pembinaan loji jana kuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan pelaksanaan pembinaan loji itu dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#bekalan air #perancangan rapi #projek pembangunan #penyelesaian jangka pendek