Tempoh 'bulan madu' hampir tamat, masa pemerintahan sebenar - Sultan Ibrahim
Astro Awani
Mac 19, 2024 13:15 MYT
Mac 19, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah bahawa tempoh 'bulan madu' tamat tidak lama lagi, dan baginda akan memulakan cara pemerintahan yang sebenar.
Baginda bertitah, kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan baginda memegang tampuk pemerintahan negara.
Menurut Sultan Ibrahim, baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.
"Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri.
“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk Ketua Negara. Apabila habis tempoh “bulan madu” ini…, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada titah diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 Di Istana Negara, pada Selasa.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Baginda dalam pada itu, bertitah pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat adalah untuk memberi pengiktirafan kepada individu yang telah berjasa, mencurahkan khidmat bakti atau menyumbang kepada Wilayah Persekutuan.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda telah meneliti setiap calon yang disediakan jawatankuasa pemilihan dan tahun ini membuat keputusan hanya 36 orang penerima sahaja benar-benar layak untuk menerima anugerah.