Tempikan gajah, takutkan penduduk

Salim Aziz
Januari 22, 2018 13:47 MYT
Kawasan hutan yang dahulunya ditumbuhi lalang setinggi 1.5 ke 2 meter dan dirimbuni pokok-pokok kayu berbuah, tetapi kini lenyap sama sekali. - Astro AWANI
Tempikan gajah hampir setiap hari sejak seminggu lalu, menimbulkan ketakutan penduduk kampung sekitar Gunung Inas, Baling, Kedah.
Semuanya, gara-gara penebangan hutan berleluasa akibat aktiviti pembalakan, dipercayai dilakukan secara haram.
Penebangan hutan ini yang jaraknya kurang 200 meter dari rumah penduduk Kampung Bukit Hijau.
Kawasan hutan yang dahulunya ditumbuhi lalang setinggi 1.5 ke 2 meter dan dirimbuni pokok-pokok kayu berbuah, tetapi kini lenyap sama sekali.
Tinjauan juga mendapati, beberapa pokok dilihat tumbang, tapak kaki dan najis gajah ada di merata-rata.
Ini pasti, menakutkan penduduk.
Malah ada penduduk yang pernah beberapa kali terserempak dengan hidupan liar itu.
"Saya pernah pi pagi tu ikut siri yang kedua dia masuk, pernah jumpa dia. Dia siang dia pi duk tido atas dalam nu sikit, malam dia keluar. Berapa ekor tu? Saya nampak hari tu sekor ja.. Dak tak nampak anak,” kata penduduk, Ismail Hashim.
Kata mereka bukan seekor, tetapi dua, tiga ekor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bukit Hijau, Idris Yaakob, inisiatif yang dilakukan setakat ini adalah membeli 22 lampu LED dan dipasang di setiap penjuru pinggir kampung.
Tujuannya, bagi mengelak gajah liar itu mengamuk hingga ke rumah penduduk.
Aduan telah dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Pengarah Perhilitan Kedah, Muhmmad Ali Che Aman yang dihubungi memaklumkan, dalam tempoh seminggu, dua aduan diterima membabitkan ancaman gajah.
#Baling #gajah #gajah mengamuk #Gunung Inas #hutan #Kedah #Malaysia #penebangan haram hutan #Tempikan gajah
;