Tempat terhad, saingan sengit antara sebab calon gagal diterima universiti awam - Husaini

Ehsan A Marisah
September 29, 2022 13:39 MYT
Husaini (kiri) berkata, sesetengah calon juga tidak memenuhi syarat khas ditetapkan universiti atau kursus yang dipohon, gagal sesi temuduga termasuk mendapat merit yang rendah. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Tempat terhad dan persaingan sengit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam (UA) menjadi antara punca kegagalan calon menerima sebarang tawaran menerusi sistem Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tahun ini, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Husaini Omar.
“Jumlah permohonan keseluruhan adalah seramai 115,477 calon untuk memasuki UA dan berdasarkan permohonan tersebut, 90,745 calon yang layak serta melepasi syarat am memasuki UA.
“Manakala, unjuran rasmi melibatkan hanya 71,615 penempatan (calon mendapat penempatan di 20 UA).
“Daripada jumlah ini, 48,665 adalah untuk calon kategori STPM/Matrikulasi/Asasi manakala 2974 bagi calon STAM dan 19,976 untuk calon Diploma/setaraf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Sidang Media Khas Mengenai Sistem UPUOnline, di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin.
Dalam pada itu, Husaini menambah, sesetengah calon juga tidak memenuhi syarat khas ditetapkan universiti atau kursus yang dipohon selain gagal sesi temuduga, mendapat merit yang rendah termasuk tidak mengisi 12 pilihan sepenuhnya yang disediakan dalam sistem UPU.
"Bilangan tempat di UA terhad dan persaingan untuk mendapatkan tempat adalah terlalu tinggi.
“Ini perkara baik menunjukkan bakat yang memohon untuk memasuki UA adalah terbaik sekali gus graduan yang dihasilkan juga terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, jelas beliau, permohonan bagi program pengajian kompetitif diterima tahun ini juga menyaksikan peningkatan dan peluang ditawarkan untuk pengajian berkenaan menjadi tipis.
Katanya, program pengajian kompetitif itu melibatkan Perubatan, Pergigian, Farmasi, Perakaunan, Undang-undang, Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal, Elektronik, Kimia dan Awam.
#UPU #universiti awam #ipta #Husaini Omar
;