Tempat letak kereta baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mula beroperasi

Bernama
April 1, 2023 16:32 MYT
Tempat letak kereta bertingkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mula beroperasi hari ini setelah menerima Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). -Bernama
GEORGE TOWN: Bangunan tempat letak kereta setinggi tujuh tingkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mula dibuka kepada orang ramai hari ini selepas ia memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata tempat letak kereta bertingkat yang baharu itu dijangka dapat menangani isu kesesakan tempat letak kereta di PIA.
"Kami menerima banyak aduan mengenai kesesakan ini. Oleh itu kami merasa amat gembira kerana kini situasi itu dapat ditangani," katanya dalam kenyataan hari ini.
Iskandar Mizal berkata terdapat 1,742 petak letak kereta termasuk 22 petak khusus untuk Orang Kurang Upaya (OKU), di samping 660 petak untuk motosikal.
"Kemudahan ini dilengkapi dengan pengecaman nombor plat automatik dan kiosk aplikasi mencari kereta supaya pengguna dapat mengesan kenderaan mereka dengan mudah," katanya.
Iskandar Mizal berkata pembangunan kemudahan ini juga selaras dengan rancangan pembesaran lapangan terbang masa depan - dengan fasa pertama dijangka dimulakan dalam masa terdekat dan kapasitinya akan ditingkatkan kepada 12 juta penumpang setahun (MPPA) daripada 6.5 MPPA pada masa ini.
-- BERNAMA
#MAHB #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang #Bangunan tempat letak kereta #Iskandar Mizal Mahmood
;